Contoh Karangan Cara-cara Menghormati Guru
Cara-cara Menghormati Guru
Contoh Karangan 1
Semasa kita berada di sekolah, gurulah yang menjaga dan mendidik kita. Guru seumpama ibu bapa kepada kita sepanjang masa kita berada di sekolah. Kerana peranan yang sebegini besar maka guru amat perlu dihormati sepanjang masa.
Pelbagai cara boleh kita lakukan untuk menghormati guru. Salah satu caranya adalah dengan mengucapkan salam ketika kita bertemu dengan guru. Seorang guru akan merasa senang hati apabila murid-murid mengucapkan salam dan mendoakan kesejahteraanya.
Seterusnya, sikap tekun belajar dan mendengar dengan teliti setiap ajaran guru ketika berada di dalam kelas juga merupakan satu cara untuk menghormati guru. Guru akan berasa bahagia dan dihargai apabila kita mendengar dengan teliti ketika mereka mengajar. Guru kita pasti akan mengajar kita dengan penuh kesungguhan.
Selain itu, kita juga boleh menghormati guru dengan cara bersikap sopan santun dan berbudi bahasa ketika bercakap dan bertanyakan soalan kepada guru. Murid yang berbudi bahasa dan bersopan santun juga akan lebih disayangi oleh guru. Sekiranya kita bersikap biadap ketika bercakap dan bertanyakan soalan kepada guru, sudah pasti akan membuatkan guru berasa terhina dan tidak dihormati. Oleh yang demikian kita hendaklah menjaga kelakuan kita ketika bercakap dengan guru.
Di samping itu, jika kita melakukan kesilapan atau terlupa menyiapkan tugasan yang diberi oleh guru, kita hedaklah memohon maaf. Sebagaimana di rumah, sekiranya kita tersilap maka kita meminta maaf daripada ibu bapa kita. Demikian juga ketika berada di sekolah. Murid yang meminta maaf dan mengakui kesilapan yang dilakukan akan membuatkan guru berasa senang hati dan berasa lebih dihargai dan dihormati.
Kesimpulannya, banyak cara yang boleh kita lakukan untuk menghormati guru. Oleh yang demikian kita hendaklah sentiasa menghormati guru-guru kita kerana mereka telah menjalankan tanggungjawab mereka mendidik kita.
Contoh Karangan ke 2
Tugas guru ialah mengajar di sekolah.Guru mendidik pelajar supaya menjadi insan yang berguna kepada bangsa dan negara. Guru juga ibarat ibu bapa kedua kepada pelajar kerana pelajar banyak menghabiskan masa di sekolah. Oleh itu, sebagai murid kita sewajarnya menghargai guru.
Terdapat banyak cara untuk menghargai guru kita. Antara cara untuk menghargai jasa guru ialah dengan menghormati mereka . Mereka mendidik kita supaya menjadi insan yang berguna. Contohnya, kita boleh mengucapkan salam apabila berjumpa dengan guru. Kita juga tidak boleh sombong terhadap guru.
Pelajar juga boleh menghargai guru dengan cara menyiapkan kerja sekolah mereka. Guru memberikan kerja sekolah bukannya untuk membebankan pelajar, sebaliknya sebagai latihan tambahan atau pengukuhan di rumah. Oleh itu, kita mesti menghantar kerja sekolah mengikut masa yang ditetapkan. Jika terdapat kesalahan dalam latihan, guru akan membetulkannya. Ini pastinya dapat membantu pelajar untuk membuat pembetulan.
Kita juga boleh menghargai guru dengan cara berdisiplin semasa di sekolah. Disiplin sangat penting untuk menjadi pelajar yang berjaya dalam pelajaran. Contohnya, kita perlu datang awal ke sekolah dan tidak terlibat dalam kes-kes buli, gengsterisme, vandalisme, ponteng sekolah, dan lain-lain.
Pelajar boleh menunjukkan kasih sayang kepada guru dengan cara membantu guru membawakan buku-buku guru ke bilik guru. Mereka juga boleh memberikan hadiah kepada guru semasa sambutan hari guru pada 16 Mei. Pelajar boleh menghargai guru dengan mengenang jasa guru.
Kita bolehlah menziarahi guru ketika mereka sakit. Dengan ini guru akan berasa gembira dan bangga terhadap pelajarnya.
Sesungguhnya, guru ibarat lilin yang sanggup menerangi orang lain. Oleh itu, setiap pelajar perlu menghargai guru.
Baca juga
Comments