Kebaikan Makan Buah-Buahan Untuk Tubuh Badan
Kebaikan Makan Buah-Buahan
BUAH-BUAHAN memiliki kandungan gizi, vitamin dan mineral yang sangat baik untuk tubuh. Khasiat buah-buahan diletakkan pada aras dua Piramid Makanan bersama sayur-sayuran. Pengambilan buah-buahan mengikut jumlah hidangan mencukupi dapat memastikan tubuh badan dan otak kita menerima semua nutrien mencukupi bagi membolehkan ia berfungsi dengan baik.
Malangnya, berapa ramai antara kita tahu kelebihan sebenar khasiat buah-buahan kecuali vitamin C yang sudah terlalu kerap dikaitkan dengan buah-buahan tertentu seperti oren dan epal.
Bagaimana pula dengan aspek lain buah-buahan seperti khasiatnya membantu mengurangkan penyakit?
Pakar Diet Klinikal, Pusat Perubahan Gaya Hidup, Pusat Perubatan Prince Court, Tan Yen Sing menjelaskan, kajian menunjukkan pengambilan lebih daripada lima hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran sehari dikatakan boleh mengurangkan sehingga 17 peratus penyakit jantung koronari.
“Pada 2005, 17.5 juta orang mati akibat penyakit kardiovaskular iaitu 30 peratus daripada jumlah kematian global. Pemakanan yang baik adalah pendekatan terbaik untuk mencegah penyakit dan penjagaan kesihatan.
“Nutrien adalah khasiat yang mesti kita peroleh daripada makanan. Khasiat pemakanan ini adalah penting untuk pertumbuhan dan penjagaan tubuh badan sepanjang hayat,” katanya.
Lebih menarik lagi, hasil penyelidikan mengenai manfaat buah-buahan kepada kesihatan turut dikongsi pada kempen kemasyarakatan, Kesihatan Itu Kekayaan anjuran MBG Fruitshop di Jaya 33, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Antara fakta menarik yang dikongsi termasuk, ramai tidak tahu pisang membantu menentang kemurungan. Selain itu, antioksidan daripada buah-buahan dan sayur-sayuran mengurangkan risiko kanser esofagus; buah kiwi meningkatkan kesihatan seksual lelaki dan kismis membantu menjaga kesihatan gigi serta pembangunan mental kanak-kanak.
Bagi kanak-kanak misalnya, buah-buahan yang kaya dengan pelbagai khasiat seperti karbohidrat, mineral dan vitamin penting dalam pertumbuhan mental fizikal mereka. Karbohidrat dalam buah-buahan misalnya, adalah dalam bentuk gula yang menyumbang kepada tenaga badan. Selain itu, buahan-buahan juga tinggi dengan serat yang membantu dalam mengelak masalah sembelit terutama di kalangan kanak-kanak.
Khasiat buah-buahan:
1. Anggur/kismis
Mengurangkan risiko kanser; strok; penyakit jantung dan hilang ingatan; antipenuaan; antioksidan; antiradang; kesihatan kulit; mata; kardiovaskular; kesihatan gastrik; kesihatan saluran kencing dan penyakit gusi.
2. Buah oren
Kesihatan jantung; penglihatan; pelalian dan mengurangkan risiko penyakit kanser. Pada masa sama, buah sitrus ini turut memiliki kelebihan sebagai antioksidan; membantu perkembangan otak janin dan mengawal tekanan darah.
3. Buah Epal
Pengambilannya yang kerap dikatakan dapat mencegah dementia atau nyanyuk; mencegah kenaikan berat badan; menurunkan kolesterol; menentang kanser dan antioksidan.
4. Buah pear
Bersifat antioksidan; menjaga kesihatan kardiovaskular; antiradang; menjaga kesihatan jantung; menyembuhkan luka dan lebam; membaiki tisu; menjaga kesihatan penglihatan; menentang jangkitan; menyokong transmisi saraf dan melawaskan perut.
5. Pisang kaki
Menjaga kesihatan penglihatan, melegakan sembelit, cirit-birit, hemoroid (buasir) dan antioksidan.
6. Mangga
Anti kanser; menjaga kesihatan penglihatan; membantu penghadaman; menjaga kesihatan kulit; membantu membaiki kesihatan seksual; menambah berat badan; menguatkan daya ingatan; berfaedah untuk anemia (kurang darah) dan mencegah selaran panas.
7. Kiwi
Buah yang kaya dengan vitamin C dan berasal dari New Zealand ini membantu mengatasi insomnia (sukar tidur); mencairkan darah untuk kesihatan kardiovaskular (menurunkan kolesterol dan trigliserida); membantu membaiki pernafasan kanak-kanak (pendek nafas dan batuk malam); mencegah kerosakan kulit yang menyebabkan kanser kulit; menjaga kesihatan penglihatan; kesihatan kolon dan kesihatan prostat.
8. Pisang
Bagi mereka yang mudah stres atau alami tekanan, buah pisang boleh menjadi pilihan. Ini disebabkan ia kaya khasiat antikemurungan (membantu membaiki mood dan tidur); antioksidan; mengawal tekanan darah; meningkatkan daya tumpuan dan menguatkan ingatan; meningkatkan tenaga; menjaga kesihatan jantung; mengurangkan risiko kanser; menentang ulser peptik; melegakan cirit-birit dan sembelit.
Baca juga