Karangan Sayangi Malaysiaku

Kongsikan Sekarang

Karangan Sayangi Malaysiaku

Sayangi Malaysiaku

Dalam meniti arus pemodenan yang bertunjangkan nawaitu materialistik dan individualistik ini, semangat cinta akan negara semakin pudar dalam kalangan rakyat. Hal ini tidak sewajarnya berlaku kerana pepatah Arab ada mengatakan bahawa cinta akan watan itu adalah sebahagian daripada iman. Tanah air adalah sesuatu yang amat besar maknanya kepada sesuatu bangsa. Semangat patriotisme dapat ditakrifkan sebagai wujud rasa cinta dan kasih sayang terhadap tanah air sendiri. Oleh itu, setiap rakyat perlulah memiliki ciri-ciri untuk menggalas tugas yang amat besar dengan menunjukkan taat setia dan memberikan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepada negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang ini.

Rakyat yang mencintai negara akan sentiasa menghormati lagu kebangsaan. Setiap negara mempunyai lagu kebangsaan tersendiri yang melambangkan kebanggaan dan kedaulatan sesebuah negara itu. Malaysia terkenal dengan lagu Negaraku. Lagu ini biasanya dinyanyikan oleh setiap warganegara Malaysia semasa majlis-majlis rasmi. Lagu kebangsaan Malaysia kaya dengan prinsip dan doktrin yang penting untuk memupuk semangat patriotisme. Memetik kata mantan Presiden Amerika Syarikat  , J.F. Kennedy, iaitu ” usahlah disoalkan apakah sumbangan negara kepada kamu sebaliknya tanyalah apakah sumbangan kamu kepada negara?” Perkara ini wajar diaplikasikan oleh setiap rakyat Malaysia untuk menjadi insan yang berbakti kepada negara. Rakyat Malaysia haruslah berdiri tegak dan bernyanyi dengan penuh semangat apabila lagu Negaraku didendangkan sebagai tanda hormat dan taat kepada negara. Izharlah bahawa sebagai rakyat Malaysia yang telah banyak termakan budi kepada negara, kita sepatutnya menunjukkan perasaan cinta akan negara dengan menghormati lagu kebangsaan.

Selain itu, sentiasa mendukung prinsip Rukun Negara juga merupakan ciri rakyat yang mencintai negara. Bagi membentuk sebuah negara yang berdaulat dan bersepadu selepas berlakunya peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969, Malaysia melalui kebijaksanaan dan kerjasama para pemimpinnya telah melakarkan suatu garis panduan , iaitu Rukun Negara. Menurut Profesor Syed Huseein al-Attas, “patriotisme ini adalah tiada jaminan yang paling meyakinkan demi mempertahankan nasib bangsa kecuali memiliki rasa kasih sayang yang tinggi terhadap negara.” Oleh itu, Rukun Negara merupakan salah satu elemen yang vital dalam menunjukkan kasih sayang kita terhadap negara. Rukun Negara juga merupakan tonggak perpaduan rakyat. Sebagai negara yang berpaksikan ideologi demokrasi, hak dan kebebasan rakyat hendaklah dihormati. Rakyat perlu sensitif terhadap kepentingan dan nilai perasaan orang lain, seperti kata peribahasa Melayu , hukum orang memiat daging , sakit di orang sakitlah di awak. Tamsilnya, setiap rakyat perlu hormat dan taat kepada raja dan negara seperti tertera dalam rukun negara. Rentetan itu, jelaslah bahawa setiap rakyat perlu menjunjung tinggi nilai-nilai dan falsafah yang terkandung dalam Rukun Negara demi mewujudkan sebuah negara yang berdaulat dan merdeka.

Di samping itu, setiap rakyat perlu mengamalkan perpaduan sebagai tanda cinta akan negara. Perpaduan merupakan aset negara yang amat penting dan merupakan tulang belakang kepada kemajuan negara. Malaysia mempunyai rakyat yang berbilang kaum. Oleh yang demikian, semua rakyat haruslah sentiasa bersatu padu untuk memupuk perpaduan yang hakiki dan mengekalkan semangat perpaduan dari generasi ke generasi, persis kata peribahasa Melayu, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Mantan Timbalan Perdana Menteri Britain, John Prescott pernah menyatakan keinginan Britain mempelajari pengalaman Malaysia mengekalkan formula perpaduan antara kaum dan amalan tolak ansur dalam amalan agama. Antara contoh cara perpaduan dapat dipupuk adalah melalui amalan kunjung-mengunjungi pada hari perayaan menerusi amalan rumah terbuka. Hal ini dapat mengeratkan silaturahim di samping memupuk perpaduan yang kukuh dalam kalangan rakyat Malaysia. Rakyat yang berpatriotik akan sentiasa mengekalkan perpaduan negara yang sudah sedia terjalin ukhuwah sesama manusia mahupun berlainan bangsa dan agama demi menyahut  seruan “Satu Malaysia” yang sering diuar-uarkan oleh Perdana Menteri malaysia, Dato Seri Najib bin Tun Abdul Razak. Terbuktilah bahawa setiap rakyat perlu menyedari kepentingan elemen perpaduan kerana perpaduan merupakan tunjang kejayaan dan kemajuan negara.

Bertitik tolak daripada manifestasi tersebut, kriteria rakyat yang mencintai negara adalah rakyat yang menghormati pemimpin dan pejuang negara. Setiap rakyat haruslah sedar bahawa disebabkan pemimpin dan pejuang negara, kita dapat menikmati kemerdekaan pada alaf ini. Kita seharusnya sentiasa menghayati sejarah negara dan menghargai pemimpin kita. George Santayana pernah berkata bahawa ” manusia yang melupai sejarah pasti akan mengulanginya.” Timbalan Naib Kaunselor Universiti Utara Malaysia , Profesor Madya Dr Mohamed Ishak menyatakan bahawa ” patriotisme perlu dinilai dengan subjek sejarah Malaysia yang lebih dinamik dan penerbitan buku-buku cerita pendek berkisah tentang pejuang-pejuang negara.” Menerusi cara ini, anak-anak akan dididik dari kecil lagi tentang sejarah negara, bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya, Hal ini akan menyebabkan mereka menjadi insan yang taat dan berguna kepada negara. Oleh itu, jelaslah bahawa seorang rakyat yang mencintai negara akan sentiasa menghormati dan menghargai pemimpin serta pejuang negara.

Melihat daripada perspektif lain, rakyat dapat menunjukkan bahawa mereka mencintai negara Malaysia dengan mengadakan dan menyertai program-program yang berunsur kemerdekaan. Sebagai contoh, setiap rakyat seyogianya melibatkan diri dalam sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia. Sambutan-sambutan seperti ini dapat menyedarkan rakyat kembali kepada jati diri di Malaysia sebenar kerana di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Rakyat Malaysia juga seharusnya berbangga dengan Jalur Gemilang kerana Jalur Gemilang merupakan lambang kemegahan dan patriotisme kepada negara. Bendera Malaysia haruslah sentiasa dikibarkan sebagai tanda kita menghargai dan mencintai negara. Oleh hal yang demikian, setiap rakyat haruslah melibatkan diri dalam segala program berunsur patriotisme yang diadakan agar dapat meningkatkan semangat cinta akan negara yang terdapat dalam sanubari setiap rakyat Malaysia.

Seterusnya, berusaha memajukan ekonomi dan mengharumkan nama negara di persada dunia juga merupakan ciri rakyat yang mencintai negara. Setiap rakyat boleh mengharumkan nama negara melalui penglibatan diri dalam beberapa acara bertaraf dunia atau melakukan sesuatu yang dapat menjadi kebanggaan negara. Dalam konteks ini, Datuk Nicol Ann David boleh dijadikan idola orang ramai kerana beliau telah mengharumkan nama Malaysia dalam bidang sukan. Hai ini jelas menunjukkan semangat cinta akan negara yang terdapat dalam atma Datuk Nicol. Menurut Profesor Emeritus Khoo Kay Kim, pembangunan sukan popular seharusnya mencapai taraf dunia kerana sukan berupaya menjana semangat patriotisme dan menyatukan rakyat. Hal ini seiiraslah dengan pencapaian Datuk Nicol atas hasil usaha beliau, bak kata pepatah, yang bulat tidak akan datang bergolek, yang pipih tidak akan datang melayang. Izharlah bahawa setiap rakyat haruslah berusaha dan memerah keringat untuk menaikkan nama negara di persada dunia.

Sebagai penutup tirai perbincangan, semua rakyat haruslah menjadi golongan ningrat dengan mempunyai semangat cinta akan negara dan patriotik yang tinggi. Semangat ini merupakan pemangkin kepada kemerdekaan negara yang sudah mencapai angka lima puluh enam tahun pada hari ini. Ahli falsafah ada menegaskan bahawa paksi kekuatan sesebuah negara itu terbina di atas paksi para ilmuwan yang berhikmah, para pemimpin yang adil dan rakyat jelata yang taat setia. Rakyat yang mencintai tanah air ini akan mampu merealisasikan egalitarianisme Malaysia dan bersatu padu mempertahankan kemakmuran negara. Oleh itu, terbuktilah bahawa rakyat mestilah menanamkan semangat cinta akan negara yang mendalam agar masa depan negara dapat terpelihara daripada jatuh ke tangan musuh sekali gus menyebabkan maruah negara tercemar di seantero dunia.

 

Sumber Rujukan Karangan

Baca Juga

Karangan Semangat Kejiranan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *