Karangan Semangat Kejiranan

Kongsikan Sekarang

Karangan Semangat Kejiranan

 

KEPENTINGAN SEMANGAT KEJIRANAN

Nusa tercinta kita Malaysia merupakan negara yang mempunyai anak
watan berbilang kaum dan hidup secara bersama sehati sejiwa ibarat seikatbak sirih serumpun bak serai. Sehubungan dengan itu, kebanyakan anggota
masyarakat hidup berjiran di kawasan bandar ataupun di kawasan luar bandar
dan mereka saling berhubung, bertemu dan berurusan antara satu sama lain.
Namun ada lakaran suram yang menyelubungi kita bahawa ada pandangan
yang menyatakan bahawa semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat
Malaysia pada masa ini dikatakan semakin terhakis ibarat hidup segan mati tak
mahu. Banyak kempen dan usaha telah dijalankan oleh pelbagai pihak untuk
merapatkan kembali hubungan dalam kalangan jiran kerana semangat
kejiranan begitu penting dalam kehidupan bermasyarakat.

 

Sebenarnya semangat kejiranan dapat memupuk kerjasama dalam
kalangan anggota masyarakat di sesuatu tempat . Kerjasama ini boleh dipupuk
melalui penglibatan anggota masyarakat dalam pelbagai aktiviti yang
diadakan di kawasan tempat mereka tinggal. Aktiviti kemasyarakatan seperti
gotong-royong, majlis sambutan perayaan atau perjumpaan bulanan komuniti
dapat mempertemukan semua jiran, saling berkenalan dan merapatkan
hubungan . Mereka akan lebih mesra, saling membantu bagai aur dengan
tebing tanpa membezakan warna kulit, bangsa atau kepercayaan. Hal ini
menunjukkan bahawa semangat kejiranan yang dipupuk dapat membentuk
kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat seterusnya membentuk
ukhuwah yang kukuh dan ampuh.

 

Selain itu, semangat kejiranan juga penting kerana dapat membentuk
semangat kekitaan dan melahirkan masyarakat yang bersatu padu. Mengimbas
kembali Peristiwa 13 Mei 1969 menunjukkan bahawa jika masyarakat tidak
bersatu padu dan berpecah-belah, negara akan musnah dan kehidupan
anggota masyarakat tidak akan selesa dan aman. Tuntasnya, semangat
kejiranan membolehkan semua anggota masyarakat memahami antara satu
sama lain. Masyarakat yang berbilang kaum ini boleh mempelajari perbezaan
budaya dan sistem sosial masyarakat lain seterusnya memahami sensitiviti
mereka agar dapat bertoleransi, bekerjasama dan saling menghormati.
Tegasnya semangat kejiranan penting dalam membentuk masyarakat yang
bersatu padu dan seterusnya dapat memacu pembangunan negara ke arah
kegemilangan.

 

Di samping itu, semangat kejiranan juga penting kepada negara kerana
memudahkan kerajaan melaksanakan pelbagai program pembangunan dan
membawa kemajuan kepada rakyat. Slogan Negara Maju Rakyat Sihat
menunjukkan apabila rakyat hidup dalam keadaan sihat sejahtera maka
pelbagai rancangan pembangunan dapat diatur, dirancang dan dilaksanakan
secara lancar tanpa sebarang kekangan. Jika masyarakat dapat hidup
bersama dalam suasana yang aman dan harmoni maka segala kemajuan yang
disediakan oleh kerajaan di seluruh pelosok tanah air akan dapat dinikmati
bersama-sama secara adil dan saksama. Sebagai contohnya, kerajaan telah
berupaya membina pelbagai kemudahan dan infrastrukutr di kawasan tamantaman perumahan seperti dewan orang ramai, balai raya, taman permainan
kanak-kanak mahupun pusat komuniti atas inisiatif, semangat kejiranan dan
perpaduan yang ditunjukkan oleh anggota masyarakat di sesetengah kawasan
tempat tinggal. Jelaslah semangat kejiranan penting bagi membantu anggota
masyarakat dalam suatu kawasan kejiranan menikmati pelbagai kemudahan
awam yang disediakan oleh pihak kerajaan.

 

Negara yang cemerlang lahir daripada rakyatnya yang berhemah tinggi
dan hidup bersatu padu seia sekata . Jika masyarakat dapat berganding bahu
dan saling mengekalkan kehidupan yang harmoni maka negara akan melakar
kejayaan gemilang. Semangat kejiranan merupakan salah satu elemen penting
dan vital yang membantu melahirkan anggota masyarakat yang harmoni,
mempunyai jati diri dan semangat cinta akan negara . Melalui hubungan
kejiranan, pelbagai aktiviti berbentuk pemupukan nilai-nilai patriotisme dapat
diimplimentasikan. Sebagai contoh, mengibarkan jalur gemilang, mengadakan
pameran sempena ulang tahun kemerdekaan negara ataupun menyertai
perarakan dalam sesebuah pesta. Datuk Azhar Bin Mansor merupakan contoh
paling jelas, dan atas sokongan rakyat Malaysia membolehkan beliau
melakukan pelayaran solo mengelilingi dunia sambil mengibarkan jalur gemilang

 

dengan penuh kejayaan. Hal Ini jelas menunjukkan keharmonian kehidupan
rakyat Malaysia membolehkan mereka melakukan sesuatu hal dan perkara
yang amat hebat bagi melaonjakkan Malaysia di persada antarabangsa.
Semangat kejiranan yang wujud dalam kalangan masyarakat Malaysia
yang berbilang kaum juga penting sebagai produk pelancongan.
Sesungguhnya, kedatangan pelancong asing ke negara ini banyak disebabkan
kehidupan masyarakat Malaysia yang unik, mempunyai pelbagai seni budaya
yang menarik dan hidup secara harmoni dalam komuniti kejiranan.
Sesungguhnya, perpaduan masyarakat banyak membantu menarik kehadiran
pelancong terutamanya ketika musim perayaan besar. Sebagai contohnya
pada sambutan Hari Kemerdekaan, Majlis Rumah Terbuka dan sambutan pestapesta tertentu menampilkan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara
kita yang amat disukai oleh para pelancong asing tersebut . Selain di kawasan
bandar, produk pelancongan seperti Program Homestay atau Inap Desa di
kawasan luar bandar juga dapat menunjukkan semangat hidup berjiran dalam
kalangan masyarakatnya . Maka sememangnya semangat kejiranan dalam
kalangan masyarakat Malaysia sangat berfaedah dan membawa pulangan
ekonomi yang begitu memberangsangkan kepada negara.

 

Intihanya, semangat kejiranan merupakan sebahagian daripada amalan
dan menjadi budaya masyarakat di Malaysia yang menjadikan negara kita unik
pada pandangan masyarakat di luar sana malah dikenali di seluruh dunia.
Tuntasnya, Semangat kejiranan bukan sahaja penting dalam mengekalkan
suasana harmoni dalam kalangan rakyat di negara kita malah sumbangannya
cukup besar terutamanya bagi memastikan Malaysia terus cemerlang dan
mampu berdaya saing pada masa akan datang kerana rakyatnya yang
bersahsiah terpuji bagi melahirkan modal insan berminda kelas pertama yang
dapat memacu negara tercinta ke arah kegemilangan di puncak jagat.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *