Karangan Kepentingan Menguasai Ilmu

Kongsikan Sekarang

Karangan Kepentingan Menguasai Ilmu

Karangan Kepentingan Menguasai Ilmu

Dalam era globalisasi, penguasaan ilmu dalam pelbagai bidang memang penting dan perlu diberikan perhatian utama. Hal ini dikatakan demikian kerana, tuntutan zaman telah membuktikan bahawa ilmu atau pengetahuan akan menjamin kejayaan seseorang itu jika digunakan dengan bijaksana. Oleh itu, semua orang hendaklah berusaha untuk mencari seberapa banyak ilmu yang mungkin untuk kesejahteraan hidup seperti kata-kata hikmat, “Ilmu pelita hidup”. Jadi, semua orang khususnya para remaja perlu menggunakan masa ketika muda ini untuk mencari ilmu sebanyak mana yang mungkin. Dengan adanya ilmu, sudah tentu seseorang itu akan mendapat manfaat yang banyak terutamanya dalam era globalisasi ini.

Dengan menguasai ilmu, seseorang itu boleh mencipta peralatan baharu atau membuat inovasi dalam pelbagai bidang. Alat atau ciptaan baharu yang berupa inovasi itu akan memberikan kemudahan kepada kehidupan seharian manusia. Sebagai buktinya, banyak inovasi baharu yang dicipta pada masa ini, contohnya telefon bimbit, komputer riba, drone, dan alat canggih yang lain. Hal ini sudah tentu memerlukan ilmu dan kemahiran yang tinggi dalam teknologi. Jadi, pada masa akan datang sudah pasti budaya yang mementingkan ilmu dalam pelbagai bidang akan menguasai budaya masyarakat.

Ilmu yang dimiliki juga membolehkan kita menguasai bidang perniagaan yang semakin kompleks dan bercorak global dewasa ini. Perkara ini dikatakan demikian kerana dalam era globalisasi, k-ekonomi merupakan trend baharu dalam perniagaan. Jadi, ekonomi yang berasaskan pengetahuan sudah menguasai dunia perniagaan pada masa ini. Jadi, setiap orang harus mengikut arus kemajuan k-ekonomi tersebut untuk menyesuaikan diri dengan tuntutan zaman jika tidak mahu menjadi seperti katak di bawah tempurung.  Dengan menyesuaikan diri mengikut perubahan zaman, seseorang peniaga itu dapat memajukan diri dalam bidang perniagaan pada masa ini.

Jika seseorang pemimpin menguasai ilmu sudah pastilah individu tersebut dapat memajukan diri dan negaranya sendiri. Hal ini dikatakan demikian kerana negara kita memerlukan pemimpin yang berilmu pengetahuan tinggi selaras dengan era globalisasi pada masa ini. Seseorang pemimpin yang berilmu akan membawa perubahan yang positif untuk kemajuan rakyat dan negara. Jika pemimpin tidak dapat menguasai ilmu, sudah pastilah negara kita akan tertinggal di belakang negara-negara maju yang lain. Jadi, seperti kata pepatah, “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”, para pemimpin juga perlu menguasai pelbagai ilmu terutamanya ilmu teknologi maklumat dan komunikasi.

Sekiranya rakyat negara ini dapat menguasai ilmu, sudah pasti hal ini akan melahirkan masyarakat yang bersifat proaktif dalam semua hal.  Perkara itu bermakna masyarakat yang berilmu sentiasa berfikir secara positif atau optimis tentang sesuatu masalah dan tidak berfikir secara pesimis dan mudah pula berputus asa. Sebagai contohnya, seseorang yang berfikir secara positif sudah tentu akan menjadikan masalah itu sebagai cabaran dan bukannya halangan untuk mencapai objektifnya. Oleh itu, kita hendaklah mengamalkan budaya yang sentiasa dahaga akan ilmu dan menjadikan budaya pembelajaran sepanjang hayat atau “life long learning” sebagai amalan dalam kehidupan.

Sebagai kesimpulannya, ungkapan orang yang menguasai ilmu akan menguasai dunia perlulah diberikan perhatian oleh semua orang. Berdasarkan ungkapan itu, janganlah kita suka membuang masa kerana masa itu emas dan masa tidak akan menunggu kita. Sekiranya kita lalai dan tidak menggunakan masa dengan bijaksana, sudah tentu kita akan termasuk dalam golongan yang berada dalam kerugian. Jadi, gunakanlah masa yang ada untuk menuntut ilmu dalam pelbagai bidang, terutamanya bidang teknologi maklumat yang sentiasa berubah hampir setiap hari. Kita berharap agar masyarakat negar ini mementingkan penguasaan ilmu demi kemajuan negara.

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

 

 

 

 

 

 

Baca juga :

Karangan Pengalaman Menyertai Kem Motivasi

Sumber Rujukan Karangan

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *