Parti Politik dan Persatuan STPM Semester 3

Kongsikan Sekarang

Parti Politik dan Persatuan STPM Semester 3

Parti Politik dan Persatuan STPM Semester 3

 

3.1.2 Parti Politik dan Persatuan

3.1.2 Parti Politik dan Persatuan


Soalan 139: Bincangkan peranan Sarekat Islam di Indonesia dalam gerakan nasionalisme sehingga tahun 1920

Pengenalan

  • Pada tahun1909,  R.M. Tirjoadisurjo telah menubuhkan Sarekat Dagang Islam. Tujuan asal Sarekat Dagang Islam adalah untuk melindungi kepentingan pedagang batik Islam supaya mereka dapat bersaing dengan pedagang batik Cina. Agama Islam menjadi alat penyatuan, persefahaman dan persaudaraan dalam kalangan pedagang batik di Jawa. Pada tahun 1912, nama Sarekat Dagang Islam ditukar kepada Sarekat Islam. Omar Said Tjokroaminoto menjadi Presiden
  • Antara matlamat asal penubuhan Sarekat Islam ialah mengukuhkan agama Islam bagi menyaingi perkembangan agama Kristian dan mengembangkan kebudayaan Indonesia. Sarekat Islam juga bermatlamat memajukan ekonomi dan kebajikan masyarakat tempatan khususnya bidang pendidikan
  • Keanggotaan Sarekat Islam meningkat daripada 12,000 orang pada tahun 1913 kepada 800,000 orang pada tahun 1916. Sarekat Islam berperanan penting dalam gerakan nasionalisme di Indonesia. Mulai tahun 1916, Sarekat Islam menunjukkan perjuangan politik secara terbuka, Pada tahun 1917, Sarekat Islam menuntut kemerdekaan mutlak. Sarekat Islam telah mengemukakan beberapa tuntutan dari aspek politik, sosial dan ekonomi kepada kerajaan Belanda

Isi-isi penting:

Dalam aspek politik

  • Sarekat Islam merupakan parti pertama yang memperjuangkan tuntutan berkerajaan sendiri daripada Belanda. Sarekat Islam mendesak Belanda membentuk Majlis Daerah dan memberikan kuasa yang lebih luas kepada Volksraad supaya menjadi satu badan perwakilan yang mempunyai kuasa Legislatif
  • Bagi pemilihan ahli Majlis Kampung, Sarekat Islam menuntut hak mengundi diberikan kepada kaum lelaki yang berumur 18 tahun ke atas dan bagi majlis-majlis lain, hak mengundi diberikan kepada kaum lelaki yang berumur 21 tahun ke atas

Dalam aspek ekonomi

  • Sarekat Islam mendesak kerajaan Belanda memiliknegarakan industri-industri penting seperti besi, tekstil, kertas, pengangkutan dan elektrik. Sarekat Islam menuntut supaya dihapuskan buruh kanak-kanak serta buruh paksa
  • Mereka menuntut Belanda mengadakan lebih banyak klinik yang memberikan rawatan percuma kepada rakyat Indonesia. Pada tahun 1918, Sarekat Islam mendesak Belanda menetapkan gaji minima dan tempoh masa kerja maksima bagi pekerja
  • Mereka mendesak Belanda membaiki dan meluaskan kemudahan pertanian dan tali air

Dalam aspek sosial

  • Sarekat Islam menuntut undang-undang yang menghalang perkembangan agama Islam dibatalkan
  • Mereka mahukan hari kebesaran Islam diisytiharkan sebagai hari cuti dan pemberian gaji tetap kepada kiyai serta penghulu
  • Dalam bidang pendidikan, Sarekat Islam mendesak Belanda menghapuskan diskriminasi terhadap kemasukan pelajar-pelajar ke sekolah
  • Mereka meminta pendidikan percuma untuk kanak-kanak Indonesia yang berumur 15 tahun ke bawah. Kerajaan Belanda didesak supaya mengadakan lebih banyak biasiswa untuk membolehkan pelajar Indonesia menuntut di luar negara . Mereka menuntut institusi pendidikan Islam diberi subsidi
  • Mereka juga menuntut Maktab Undang-undang dan Maktab Perubatan dinaik taraf sebagai universiti

Kesimpulan

  • Berlandaskan kecenderungan terhadap keagamaan, Sarekat Islam mampu berjuang atas isu-isu politik yang membolehkannya muncul sebagai organisasi massa pertama yang terlibat dalam gerakan nasionalisme di Indonesia
  • Walau bagaimanapun pada tahun 1920-an, Sarekat Islam mulai merosot. Ini disebabkan oleh perselisihan antara golongan Reformis Islam dengan golongan ortodoks dalam parti itu sendiri. Pemimpin Sarekat Islam seperti Semaun dan Darsono telah dipengaruhi oleh komunis dan mengakibatkan perpecahan dalam Sarekat Islam
  • Pada tahun 1926, Belanda mengambil tindakan menindas Sarekat Islam kerana dituduh terlibat dalam beberapa pemberontakan yang berlaku Pemimpin Sarekat Islam iaitu Omar Said Tjokroaminoto ditangkap dan dipenjarakan

Soalan 140: Terangkan sebab-sebab penubuhan dan matlamat parti politik bagi Partai Nasional Indonesia.

Pendahuluan

  • Pada tahun 1922, sekumpulan pelajar Indonesia di Holland telah menubuhkan perhimpunan Indonesia. Setahun kemudian, perhimpunan Indonesia telah menegaskan rancangan mereka untuk berjuang kea rah kemerdekaan Negara. Untuk mencapai hasrat tersebut, Perhimpunan Indonesia menggabungkan usaha semua golangan masyarakat Indonesia dan menjalankan dasar tidak bekerjasama dengan kerajaan Belanda. Perhimpunan Indonesia bersifat agresif dan radikal sejak penubuhannya di Holland.
  • Perhimpunan Indonesia berjaya mendapat sokongan ramai kerana memperjuangan kemerdekaan. Antara tahun 1923 dan 1927,ahli-ahli Perhimpunan Indonesia yang  pulang ke Indonesia yang pulang ke Indonesia telah menubuhkan kelab-kelab pelajar di beberapa buah Bandar. Kelab tersebut menjadi pusat perbincangan dan saluran idea perjuangan Perhimpunan Indonesia.

Isi-isi penting:

Sebab-sebab dan matlamat penubuhan

  1. Mulai tahun 1927, peranan PNI dalam pergerakan nasional Indonesia amat besar. Antara sebab dan matlamat penubuhan PNI adalah untuk menuntut kemerdekaan mutlak, menyatukan rakyat Indonesia melalui gabungan parti-parti politik kebangsaan Indonesia, membentuk kerajaan demokrasi berparlimen yang bertanggungjawab kepada semua rakyat dan Memartabatkan penggunaan bahasa Indonesia sebagai bahasa rasmi.
  2. PNI berjuang secara aktif dan radikal demi mencapai matlamat untuk membebaskan Indonesia daripada penjajahan Belanda. Antara usaha PNI ialah: Mengamalkan dasar penentangan pasif,  Mengamalkan dasar tidak bekerjasama dengan Belanda, Menyeru pegawai Indonesia memulaukan Volksraad dan perkhidmatan awam kerajaan, Menubuhkan kesatuan buruh, Memajukan syarikat kerjasama, Menyokong pendidikan kebangsaan, Menganjurkan kursus dan mendirikan sekolah, Mengadakan rapat-rapat umum, Menyebarkan idea nasionalis melalui penerbitan surat khabar Banteng  Priangan di Bandung dan Persatoean Indonesia di Jakarta.
  3. Perjuangan PNI dijelaskan semasa Kongres Pemuda yang telah mengeluarkan “Sumpah Pemuda”  yang menekankan tiga perkara,iaitu: Semua rakyat Indonesia adalah sebangsa,sebahasa, dan senegara. Berdasarkan prinsip tersebut, PNI menegaskan tidak akan menggunakan agama Islam sebagai dasar perjuangannya kerana soal kemerdekaan turut melibatkan rakyat Indonesia beragama Kristian yang berbeza bahasa dan budaya.  Pertubuhan belia seperti Pemuda Jawa, Pemuda Sulawesi, Pemuda Sumatera dan Pemuda Ambon digabungakan menjadi Persatuan Pemuda Indonesia. Lagu kebangsaan akan dicipta dan digunakan secara rasmi. Idea nasionalisme dapat disalurkan melalui ciptaan lagu kebangsaan.
  4. Kebijaksanaan Soekarno mengutamakan soal perpaduan dan persefahaman membolehkan PNI mendapat sokongan ramai dan menjadi parti politik yang paling popular. Dalam masa dua tahun sahaja, PNI berjaya meraih sokongan seramai 10000 orang.
  5. Selaras dengan hasrat menyatukan rakyat Indonesia tanpa mengira perbezaan keturunan, bangsa, dan agama, PNI berusaha menggabungkan parti-parti politik yang sedia ada seperti Budi Utomo, Pasundan, Ikatan Sumatera, Kaum Betawi, Kelab Pelajar Surabaya, dan Sarekat Islam dalam satu gabungan yang besar, iaitu Permuafakatan Perhimpunan Politik Kebangsaan Indonesia (PPPKI). Melalui PPPKI, PNI telah berusaha membentuk perpaduan kebangsaan.

Penutup

  • Dalam kalangan kelab yang ditubuhkan, Kelab Pelajar Bandung yang paling aktif. Dari kelab tersebut, Soekarno mengambil inisiatif menubuhkan Perserikatan Nasional Indonesia pada 4 Jun 1927.
  • Perserikatan Nasional Indonesia kemudian menukar namanya kepada Partai Nasional Indonesia (PNI).

Soalan 141: Terangkan sebab-sebab penubuhan dan matlamat persatuan Young Men Buddhist Association  (YMBA) di Myanmar

Pendahuluan

  • Young Men Buddhist  Association  (YMBA)  atau Persatuan Belia Buddha merupakan pertubuhan bukan kerajaan yang ditubuhkan pada tahun 1906 oleh golongan berpendidikan Barat.
  • Golongan ini terdiri daripada peguam dan mahasiswa Universiti Rangoon seperti U Ba Pe, Sir Maung Gyi, dan U Kin.

Isi-isi penting

Sebab-sebab Persatuan Young Men Buddhist Association (YMBA)

  1. Memupuk semangat kebangsaan.
  • Pemimpin bersefahaman radikal telah membangkitkan semangat nasionalisme melalui isu kasut. Mereka melancarkan protes terhadap sekumpulan orang Eropah yang memakai kasut memasuki Pagoda Endawya di Rangoon.  YMBA mengambil berat tentang isu kasut dan perbuatan British dianggap sebagai satu penghinaan terhadap kesuciaan  rumah ibadat masyarakat peribumi Myanmar. Pada mulanya, British tidak melayan tuntutan YMBA kerana memandang ringan isu tersebut. Oleh itu, YMBA berusaha mendapat sokongan penduduk di Bandar dan luar Bandar. British bimbang dengan sokongan kuat itu lalu mengeluarkan undang-undang melarang pemakaian kasut di pagoda.
  • YMBA seterusnya membantah kerajaan British berkaitan dengan Laporan Montagu-Chelmsford pada tahun 1917. Melalui laporan tersebut, kerajaan british telah meluluskan perlembagaan baharu di India sebagai persediaan ke arah status pemerintahan sendiri. Akan tetapi,kelulusan ini tidak diberikan kepada Myanmar dengan alasan Myanmar masih belum mencapai taraf “kepandaian membaca dan menulis.” British berpendapat Myanmar masih belum bersedia untuk mentadbir institusi demokrasi di Myanmar.
  1. Mengembangkan pendidikan.
  • YMBA juga terlibat dalam isu Akta Universiti 1920. Tujuan akta ini adalah menaik tarafkan pendidikan di Universiti Rangoon. Pada bulan Disember 1920, pelajar di universiti tersebut mengadakan mogok kerana menganggap akta ini adalah muslihat British untuk melengah-lengahkan usaha Myanmar mencapai taraf berkerajaan sendiri.
  • YMBA berjaya menggerakkan hampir seluruh masyarakat Myanmar untuk menentang tindakan British tersebut. Mereka menuntut supaya sistem pendidikan dan universiti di Myanmar bebas daripada pengawasan British. Bagi mengatasi mogok tersebut, British menguatkuasakan Pindaan Akta Universiti pada tahun 1924. Melalui pindaan tersebut, banyak kuasa pentadbiran universiti dipindahkan kepada orang Myanmar.
  1. Mengekalkan tradisi agama Buddha.
  • Menegaskan agama Buddha sebagai penyelamat masyarakat. Mengekalkan semangat masyarakat peribumi Myanmar dengan cogan kata, “Buddha Save The King”. Pada peringkat awal, YMBA memperjuangkan  isu sosial dan budaya menimbulkan minat dan kesedaran orang Myanmar terhadap kesenian, kesusasteraan, kebudayaan, dan agama Buddha di Myanmar.
  • YMBA menerbitkan akhbar Thuriya untuk menyedarkan masyarakat Myanmar tentang kepentingan  agama Buddha dalam kehidupan mereka.  Bukti YMBA memberi tumpuan kepada isu agama Buddha, kebudayaan, dan pendidikan orang Myanmar:

Matlamat persatuan Young Men Buddhist Association (YMBA)

  1. a)Memperjuangkan pendidikan percuma bagi anak-anak rakyat Myanmar.
  2. b)Menuntut hak pelajaran yang sama diberikan kepada semua rakyat.
  3. c)Menuntut ajaran dan nilai agama Buddha diserapkan dalam pendidikan.
  4. d)Menubuhkan sekolah-sekolah yang menekankan agama Buddha.
  5. e)Menggalakkan pelajar Myanmar dihantar ke luar Negara.

Kesimpulan

  • YMBA bertindak membentuk Majlis Am Persatuan-persatuan Myanmar GCBA pada tahun 1920. GCBA melancarkan pemulauan terhadap kerajaan British. YMBA menghantar delegasi ke London sebagai tanda protes. Perjuangan YMBA berjaya apabila kerajaan British memperkenalkan Sistem Diarki di Myanmar pada tahun 1921.
  • Kebangkitan orang Thakin, menyebabkan pengaruh YMBA semakin senyap. Namun begitu, YMBA memainkan peranan penting dalam membangkitkan semangat nasionalisme melalui agama Buddha. YMBA dapat menyatupadukan masyarakat peribumi Myanmar ke arah satu matlamat yang sama, iaitu memelihara tradisi agama Buddha dan menimbulkan kesedaran tentang ketidakadilan dasar penjajah British.

Soalan 142: Terangkan sebab-sebab penubuhan dan matlamat parti politik Poor Man’s Party di Myanmar.

Pendahuluan :

  • Dr. Ba Maw sangat popular dalam kalangan rakyat jelata dan dianggap wira yang dapat mempertahankan hak mereka kerana beliau Berjaya membela Saya San yang melancarkan pemberontakkan menentang British pada tahun 1931-1932. Berdasarkan situasi tersebut, Dr Ba Maw menubuhkan Sin Ye Tha Ah-pwa pada tahun 1936.
  • Merupakan parti politik pertama di Myanmar yang Berjaya menarik sokongan rakyat yang kebanyakannya merupakan kaun tani dan buruh yang miskin. Pada tahun 1937, Dr Ba Maw dilantik menjadi perdana Menteri bangsa Myanmar pertama selepas Myanmar diasingkan daripada pentadbiran di India.

Isi-isi penting:

Sebab-sebab penubuhan

  1. Penguatkuasaan ekonomi oleh kuasa-kuasa asing
  • Kegiatan ekonomi Myanmar dikuasai oleh syarikat asing seperti syarikat british serta pengusaha India dan Cina.
  • Pekerja seperti buruh dan perkeranian pula dikuasai orang India. Perkembangan ini telah menyebabkan ramai orang Myanmar terpinggir dlm bidang ekonomi.
  1. Kemelesetan ekonomi dunia
  • Kemelesetan ekonomi dunia sekitar awal 1930-an menyebabkan ramai petani hidup melarat
  • Perkembangan ini menyebabkan timbul masaalah kemiskinan.
  1. Kejatuhan Harga beras
  • Kejatuhan harga beras menyebabkan kehidupan petani terjejas.
  • Perkembangan ini melahirkan rasa tidak puas hati dalam kalangan petani terhadap british.

Matlamat Penubuhan

  • Matlamat utama penubuhan parti ini adalah untuk memperjuangkan kemerdekaan Myanmar.
  • Parti nini turut memperjuangkan hak dan kebajikan golongan petani

Penutup :

  • Prinsip perjuangan Poor Man’s Party yang menggunakan kelas bawahan yang terdiri daripada kaun tani, buruh, dan golongan miskin sebagai benteng pertahanan dan penyatuan jelas memaparkan dasar perjuangan sosialis.
  • Walaupun parti ini dinamakan Poor Man’s Party, namun pada hakikatnya, Dr. Ba Maw hanya mempergunakan golongan yang miskin sebagai batu loncatan untuk memperkukuhkan kedudukannya di dalam politik menjadi Perdana Menteri pada tahun 1937.

 

 

 

Baca juga Pembentukan Negara Bangsa STPM Semester 2

Sumber nota Sejarah blog STPM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Exit mobile version