Contoh Karangan Perpaduan Kaum Dalam Masyarakat

Kongsikan Sekarang

Contoh Karangan Perpaduan Kaum Dalam Masyarakat

 

KEPENT INGAN MENGAMALKAN PERPADUAN KAUM DALAM
KALANGAN MASYARAKAT

Malaysia merupakan sebuah negara yang unik kerana terdiri daripada masyarakat
berbilang kaum. Kaum-kaum utama seperti Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan sebagainya
dapat hidup dalam keadaan harmoni. Banyak negara di dunia menjadikan Malaysia sebagai
negara yang patut dicontohi kerana masyarakat dapat hidup dalam keadaan aman walaupun
berbilang bangsa, agama dan budaya. Hal ini demikian kerana kebijaksanaan pemimpin kita
yang menjadikan perpaduan kaum sebagai keutamaan bagi membina sebuah negara bangsa
yang maju menjelang tahun 2020 nanti. Pada pendapat saya, banyak kepentingan yang dapat
diperoleh jika perpaduan kaum dapat dikukuhkan dalam kalangan masyarakat.

Masyarakat yang harmoni dapat dilahirkan jika kaum-kaum di Malaysia dapat menerima
antara satu sama lain tanpa wujud prasangka dan pergeseran sehingga boleh menimbulkan
konflik antara kaum. Pengalaman 13 Mei 1969 suatu ketika dahulu banyak mengajar kita supaya
menjadikan perpaduan kaum sebagai keutamaan. Kini, masyarakat pelbagai kaum di Malaysia
sudah hidup bersatu padu dan saling memerlukan antara satu sama lain. Mereka saling
bekerjasama, menghormati dan bertolak ansur antara satu sama lain kerana tidak mahu pisang
berbuah dua kali. Keterbukaan pemimpin negara dalam bidang pendidikan banyak
menyumbang ke arah perpaduan kaum. Sebagai buktinya, di Malaysia wujud Sekolah
Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT)
yang masing-masing menggunakan bahasa ibunda, tetapi pada masa yang sama bahasa lain
boleh dipelajari. Hal inilah yang menyebabkan semua kaum di Malaysia dapat hidup dalam
keadaan harmoni kerana perasaan prejudis kepada kaum lain tidak wujud. Jelas menunjukkan
bahawa masyarakat yang harmoni mampu diwujudkan jika perpaduan antara kaum dapat
dikukuhkan.

Selain itu, ramai pelancong luar negara berkunjung ke Malaysia kerana tertarik dengan
budaya masyarakat berbilang kaum yang terdapat di Malaysia. Banyak keunikan cara hidup
masyarakat pelbagai kaum dapat ditonjolkan seperti kepelbagaian makanan, pakaian, rumah
ibadat, kesenian dan sebagainya kepada pelancong asing. Keunikan inilah yang menyebabkan
pelancong dari Eropah, Timur Tengah dan Asia Timur datang ke Malaysia untuk melihat dengan
lebih dekat kebudayaan pelbagai kaum. Sebagai buktinya, pada tahun lalu seramai 25 juta orang
pelancong asing datang ke negara kita hasil daripada usaha kerajaan yang bersungguh-sungguh
mempromosikan keunikan yang terdapat di Malaysia khususnya kebudayaan pelbagai kaum yang
terdapat di sini. Menteri pelancongan, Datuk Seri Ng Yen Yen menjelaskan bahawa usaha untuk
menarik 30 juta pelancong asing ke Malaysia pada tahun 2012 sedang digiatkan dan fokus
kementerian adalah menganjurkan festival kebudayaan pelbagai kaum yang terdapat di negara
kita. Jadi, perpaduan kaum yang kukuh di negara kita mampu menarik pelancong asing datang
ke sini.

Di samping itu, perpaduan kaum juga secara tidak langsung mampu mengukuhkan
ekonomi negara. Tidak dapat dinafikan bahawa antara sebab utama pelabur asing berani
menanam modal di sesebuah negara adalah kerana kestabilan politik dan perancangan kerajaan
yang mesra pelabur. Hal ini kerana mereka tidak mahu modal yang dilaburkan di sesebuah negara
akan rugi akibat pergolakan yang berlaku di sesebuah negara. Malaysia bertuah kerana menjadi
destinasi pelabur asing dari Amerika, Eropah, Jepun, China dan India. Baru-baru ini, pelabur dari
China membawa modal sebanyak RM1.5 bilion untuk dilaburkan dalam bidang teknologi
maklumat dan komunikasi di Cyberjaya kerana yakin dengan usaha kerajaan yang bersungguhsungguh untuk memacu negara menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi pada tahun
2020 nanti. Sudah tentu modal yang dilaburkan itu mampu menjana pendapatan kepada negara
sekali gus menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. Pelabur ini berani
menanam modal di sini adalah tidak lain dan tidak bukan kerana kestabilan politik negara ekoran
daripada masyarakat yang hidup bersatu padu tanpa sebarang perbalahan. Jadi, sudah terang
lagi bersuluh bahawa perpaduan kaum mampu mengukuhkan ekonomi negara.

Akhir sekali, perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat Malaysia juga mampu
meningkatkan imej negara di mata dunia. Memang tidak dapat dinafikan bahawa negara pada
masa kini sudah berada di peta masyarakat antarabangsa ekoran daripada usaha kerajaan yang
berterusan membina negara yang disegani di peringkat dunia. Kepimpinan yang ada pada
mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed menjadi perintis untuk meletakkan Malaysia
sebaris dengan negara-negara maju yang lain. Ketokohan yang ada pada beliau telah
menjadikan negara-negara dunia ketiga sebagai model dan orang yang boleh bersuara untuk
membela nasib mereka di pentas dunia. Selain kepimpinan negara, Malaysia juga dikenali di
pentas antarabangsa adalah kerana kestabilan masyarakat yang wujud di negara kita. Sebagai
buktinya, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengiktiraf Malaysia sebagai negara
yang ke-9 paling aman di dunia berdasarkan kajian yang dilakukan oleh sebuah badan bebas
yang berpengkalan di Amerika Syarikat. Hal ini sangat jelas menunjukkan bahawa pengiktirafan
sedemikian adalah kerana masyarakat Malaysia hidup bersatu padu sehingga keadaan menjadi
aman dan harmoni.

Kesimpulannya, perpaduan merupakan anugerah yang tidak ternilai harganya. Banyak
negara di dunia menghadapi konflik atau perang saudara kerana wujud prejudis antara
masyarakat. Kita sering kali melihat atau mendengar melalui media massa sama ada media cetak
atau media elektronik mengenai pertempuran yang berlaku sehingga mengorbankan banyak
nyawa yang tidak berdosa seperti warga tua dan kanak-kanak. Keadaan ini tidak berlaku di
Malaysia kerana masyarakat kita saling menghormati antara satu sama lain. Oleh itu, saya menyeru supaya kekalkanlah perpaduan yang telah kita bina ini agar aspirasi kepimpinan negara untuk
menjadi negara maju dapat direalisasikan.

 

Sumber Contoh Karangan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *