Cara Beli, Tender atau Bida No Plat Kenderaan

Kongsikan Sekarang

Cara Beli, Tender atau Bida No Plat Kenderaan Secara Online Melalui JPJeBid

Cara Beli, Tender atau Bida No Plat Kenderaan

https://www.youtube.com/watch?v=n7re_KGkaYk

Nombor plat kenderaan yang menarik dan istimewa kini mendapat tempat dalam kalangan pemilik kereta. Ramai pemilik kereta sanggup menghabiskan ribuan ringgit demi mendapatkan nombor plat yang eksklusif untuk kereta masing-masing. Malah, pengenalan sistem bidaan secara online yang lebih mudah, telus dan efisien seperti JPJeBid juga antara faktor yang menggalakkan pemilik kereta untuk menyertai tender terbuka bagi mendapatkan nombor plat kereta idaman.

Untuk anda yang mungkin kali pertama ingin mencuba membida nombor plat kenderaan, Carsome menyenaraikan perkara yang perlu anda tahu mengenai cara beli nombor plat kenderaan melalui Sistem Bidaan Nombor Plat Kenderaan Secara Dalam Talian, JPJeBid seperti cara daftar portal JPJeBid, kategori nombor plat, semakan nombor plat terkini mengikut negeri, kaedah pembayaran dan harga tempahan sebagai panduan anda.

Perkara Anda Perlu Tahu Mengenai JPJeBid – Sistem Bidaan Nombor Plat Kenderaan Secara Online

JPJeBid merupakan pelaksanaan inisiatif pembangunan Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia. Ia merupakan langkah strategik JPJ dalam memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat yang bertujuan untuk memudahkan urusan pembidaan, meningkatkan dan memperkemaskan sistem urus niaga secara dalam talian.

1. Proses Pendaftaran JPJeBid

Sistem ini terbuka bagi individu atau syarikat yang ingin mendapatkan nombor plat tertentu untuk kenderaan masing-masing. Namun begitu, proses pendaftaran untuk sistem ini memerlukan anda untuk mendaftar dengan Portal Orang Awam MySIKAP terlebih dahulu. Pendaftaran MySIKAP boleh dilakukan di mana-mana pejabat JPJ negeri atau cawangan, tidak termasuk Pusat Transformasi Bandar (UTC). Anda boleh merujuk infografik di bawah untuk mengetahui cara pendaftaran ID Portal Orang Awam MySIKAP.

2. Cara Daftar, Log Masuk Portal JPJeBid

Setelah anda mempunyai akses terhadap Portal Orang Awam, mySIKAP, anda bolehlah meneruskan proses pendaftaran portal JPJeBid. Berikut merupakan cara untuk mendaftar portal JPJeBid sebagai panduan anda:

      1. Daftar masuk portal JPJeBid. Untuk pengguna kali pertama, anda perlu klik Daftar Baharu. Permohon yang ingin mendaftar dengan JPJeBid perlu menyertakan dokumen berikut semasa pendaftaran – salinan kad pengenalan (individu) dan salinan sijil dan lesen perniagaan (syarikat).
      2. Semak e-mel untuk mengesahkan pendaftaran dan klik pautan yang diberikan.
      3. Kemudian, log masuk portal JPJeBid menggunakan ID dan kata laluan yang telah ditetapkan.
      4. Lakukan carian nombor pilihan. Hasil carian nombor pendaftaran yang terkini akan dipaparkan.
      5. Klik pada nombor pendaftaran yang ingin dibida, kemudian klik butang Bida.
      6. Masukkan maklumat kad kredit bagi membuat pembayaran caj perkhidmatan.
      7. Kemudian, masukkan amaun bidaan dan klik Bida.
      8. Skrin pembayaran akan dipaparkan, masukkan maklumat kad kredit bagi membuat pembayaran amaun bidaan.

Tiada had dikenakan bagi bidaan nombor plat kenderaan. Namun begitu, jumlah nombor yang dimenangi adalah dihadkan kepada tiga nombor pendaftaran sahaja bagi setiap individu dan lima nombor bagi syarikat. Setiap nombor yang dibida akan dikenakan caj perkhidmatan sebanyak RM10.

3. Beli Nombor Plat – Kategori Nombor Plat Kenderaan

Nombor plat kenderaan atau nombor pendaftaran yang ditawarkan untuk bidaan dibahagikan kepada beberapa kategori:

    1. Popular Numbers atau Nombor Popular – digit popular seperti 121, 242, 575, 898, 909 dan sebagainya;
    2. Attractive Numbers atau Nombor Menarik – digit menarik seperti 11, 44, 88, 777, 9999 dan sebagainya;
    3. Golden Numbers atau Nombor Bernilai Utama – digit tunggal seperti 1, 2, 3, 4, 5 dan sebagainya;
    4. Running Number atau Nombor Semasa.

4. Semakan Nombor Plat Terkini Mengikut Negeri

Selain itu, berikut merupakan nombor plat terkini mengikut negeri untuk rujukan anda. Jadual di bawah adalah berdasarkan data daripada laman web JPJ yang akan dikemas kini dari semasa ke semasa. Anda juga boleh menyemak nombor pendaftaran plat kenderaan terkini mengikut kawasan atau negeri secara terus daripada laman web rasmi JPJ di sini.

Negeri/Daerah Nombor Plat Terkini
SELANGOR BQM3588
TERENGGANU TCH6824
JOHOR JUN9452
KEDAH KFC1721
LANGKAWI KV3461E
KELANTAN DEA6759
KUALA LUMPUR VGE8763
MELAKA MDJ6734
NEGERI SEMBILAN NDR2519
PAHANG CEJ9914
PULAU PINANG PPU1404
PERAK ALX5831
PERLIS RAJ1082
KOTA KINABALU SYL7329
SANDAKAN SMD4839
KUDAT SK2142C
TAWAU SWC5431
BEAUFORT SB6242E
KENINGAU SU4070G
LAHAD DATU SD4527R
KUCHING QAB9302B
SIBU QS9948M
MIRI QM7602H
SRI AMAN QBE4938
SARIKEI QRP1742
BINTULU QTU5862
LIMBANG QLD1841
KOTA SAMARAHAN QCL6798
KAPIT QPB7439
LABUAN LG5774
PUTRAJAYA

*Dikemas kini setakat 6 pm, Rabu 31 Mac 2021.

5. Kaedah Pembayaran

Pembayaran bidaan boleh dibuat melalui kad kredit tempatan/kad debit tempatan sahaja. Pembida boleh menggunakan lebih daripada satu kad kredit/kad debit untuk membuat bidaan tambahan.

6. Harga Tempahan Nombor Plat

Setiap nombor yang ditempah memerlukan anda untuk membayar harga tempahan minimum mengikut kategori nombor pendaftaran seperti berikut:

Amaun bidaan pertama mestilah sama atau melebihi harga minimum yang ditetapkan mengikut kategori. Peningkatan bidaan minimum adalah sebanyak 5% daripada amaun harga minimum dan tiada had dikenakan untuk peningkatan maksimum.

Formula Kenaikan

5% x Harga Minimum Bidaan = Kenaikan Harga Minimum
Harga Minimum Bidaan + Kenaikan Harga Minimum = Jumlah Bidaan

Kategori Harga No Plat Harga Minimum Kenaikan Bidaan Minimum Kenaikan Bidaan Minimum
Jumlah Bidaan (Kenaikan)
Pertama Kedua Ketiga
Harga No Plat 1 Angka – Nombor Utama RM20,000 RM1,000 RM21,000 RM22,000 RM23,000
Harga No Plat 2 Angka – Nombor Menarik RM3,000 RM150 RM3,150 RM3,300 RM3,450
Harga No Plat 3 Angka – Nombor Popular RM800 RM40 RM840 RM880 RM920
Harga No Plat 4 Angka – Nombor Biasa RM300 RM15 RM315 RM330 RM345

*Peningkatan amaun minimum akan dipaparkan pada halaman bidaan sebagai rujukan/**Segala transaksi semasa bidaan menggunakan kaedah pre-authorization

7. Soalan Lazim Berkaitan Tempahan Nombor Pendaftaran Kenderaan

Kami turut menyediakan soalan-soalan lazim berkaitan tempahan nombor plat kenderaan bagi menjawab persoalan-persoalan lazim yang biasa diajukan oleh pengguna.

1. Adakah fi dan caj dikenakan untuk melakukan bidaan?

Ya, caj sebanyak RM10 akan dikenakan (dan tidak akan dikembalikan) sebagai caj perkhidmatan bagi setiap nombor pendaftaran.

2. Adakah deposit diperlukan sebelum melakukan bidaan?

Tiada deposit diperlukan, namun pembida perlu mengemukakan bayaran harga minimum mengikut kategori nombor kenderaan.

3. Bolehkan pembida menarik balik bidaan?

Tidak, pembida tidak dibenarkan untuk menarik balik bidaan sepanjang tempoh bidaan.

4. Bagaimanakah saya boleh mengetahui tender nombor plat kenderaan terkini yang dibuka?

Anda boleh membuat semakan di laman web rasmi atau ikuti laman sosial seperti Instagram, Twitter dan Facebook JPJ Malaysia untuk kemas kini lanjut.

5. Berapa lamakah tempoh bidaan untuk satu siri nombor kenderaan berlangsung?

Tempoh bidaan untuk satu siri nombor pendaftaran kenderaan berlangsung selama lima hari dan tamat pada jam 2359 Hrs hari kelima. Waktu bidaan mengambil kira tempoh bidaan yang berlangsung dan bukannya pada waktu bayaran bidaan pada pihak bank.

6. Apakah yang berlaku pada bayaran bidaan jika bidaan pembida berjaya?

Jika bidaan berjaya, amaun bidaan akan ditolak dari kad kredit/kad debit pembida dengan serta-merta.

7. Apakah yang berlaku pada bayaran bidaan jika bidaan pembida tidak berjaya?

Pembatalan transaksi oleh pihak bank akan dilakukan dan amaun akan dikreditkan semula ke dalam kad kredit/kad debit pembida. Tiada caj yang akan dikenakan.

8. Berapa lamakah tempoh penyelesaian pembayaran bidaan sekiranya bidaan pembida tidak berjaya?

Amaun penyelesaian bayaran akan dikreditkan ke dalam kad kredit/kad debit pembida dalam tempoh tujuh hari bekerja (kad kredit) dan empat belas hari bekerja (kad debit) bergantung kepada bank pengeluar kad kredit/kad debit (issuer).

Anda juga boleh layari laman web Jabatan Pengangkutan Jalan untuk mendapatkan soalan lazim lain berkaitan. Untuk rekod, bidaan yang paling tinggi direkodkan yang dibuat untuk satu nombor setakat hari ini ialah untuk nombor plat ‘Malaysia 1’ dengan jumlah bidaan setinggi RM1,111,111! Jumlah bidaan tertinggi ini sekali gus memecahkan rekod terdahulu yang dipegang oleh nombor plat kereta ‘V1’ yang bernilai RM989,000.

Selain itu, jika anda ingin membeli kereta terpakai atau menjual kereta lama anda, layari laman web Carsome untuk info lanjut. Carsome merupakan platform jual beli kereta terpakai dengan tawaran harga yang menarik, mampu milik dan berbaloi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Exit mobile version