Bisnes Dropship Dengan Pemasaran Facebook

Kongsikan Sekarang

Bisnes Dropship Dengan Pemasaran Facebook

 

Bisnes Dropship Dengan Pemasaran Facebook

 

                   Dewasa ini masyarakat Melayu di Malaysia mula berlumba lumba mencari pendapatan sampingan menerusi Internet. Jika dulu ramai di antara kita terlibat dalam skim pelaburan yang tidak sah dan mengakibatkan kerugian besar, kini ramai yang  telah bijak memilih mana satu jenis perniagaan yang benar benar boleh memberi keuntungan. Salah satunya adalah dengan melibatkan diri dengan bisnes dropship. Bisnes dropship jika kena dengan tekniknya boleh memberi pulangan yang sangat lumayan kepada kita. Ini kerana modalnya hampir bermula dengan kosong dengan hasil yang berlipat ganda. Bisnes dropship secara mudahnya bermaksud kita menjadi orang tengah kepada pembeli dan pembekal. Kita bertindak sebagai pengiklan sesuatu produk dan mendapat hasil melalui komisen yang diberi. Selalunya dropship terbahagai kepada dua cara, iaitu secara komisen ataupun kita sebagai dropshipper perlu mark up sendiri harga. 

 

                   Bisnes dropship ini kelihatan mudah dibuat. Ia memang benar kerana budak sekolah pun sudah boleh memulakan bisnes ini jika berminat, namun ada beberapa perkara yang harus kita teliti sebelum mula mengendalikan bisnes ini. Setiap perniagaan tidak kira besar atau kecil pasti ada risiko dan memerlukan kajian terlebih dahulu. Secara mudahnya cuba bayangkan jika kita mahu memulakan bisnes dropship dengan menjual tudung, kita tidak boleh terus menjualnya kepada sesiapa saja yang kita jumpa dalam Internet. Kita harus peka dan kenal pasti dahulu apakah target pasarannya. Bisnes dropship kita lakukan di dalam talian. Bukan mudah sebenarnya untuk menarik perhatian pembeli dalam Internet. Ini terpulang kepada kita dalam cara kita memasarkan produk kita sendiri. Jadi, mari kita teruskan dengan apa yang kita perlu ada sebelum bermula dengan bisnes dropship.

 

Pilih Produk

Pertama, kita perlu faham konsep bisnes dropship. Kedua, kita perlu pandai memilih produk apa yang mahu kita pasarkan. Dalam memilih produk, kita harus mengenali juga apakah target pasaran untuk produk itu. Buat satu kaji selidik mengenai apakah jenis produk yang paling menarik perhatian ramai ketika ini. Kita juga haruslah mempunyai pengetahuan tentang produk yang kita jual. Bagaimana? Jika kita mahu menjual pakaian, kita harus tahu serba sedikit tentang jenis kain, harga pasaran, cara potongan kain, saiz umum pakaian dan banyak lagi. Ini bagi memastikan kita tidak buntu apabila pelanggan bertanya soalan kepada kita.

Pilih pembekal

Ini juga adalah proses yang sangat penting dalam bisnes dropship. Kita sudah faham bahawa kita bertindak sebagai orang tengah, jadi amatlah penting untuk kita memilih pembekal yang boleh membekalkan kita banyak stok dan bukannya seorang yang penipu. Kita harus faham jika berlaku apa apa masalah di kemudian hari, orang yang pelanggan akan cari adalah kita, bukannya pembekal kita. Cara nak pilih pembekal adalah, kita lihat maklumbalas orang ramai tentang produknya, lihat juga sama ada dia aktif atau tidak dalam perniagaan. Kalau boleh kita pilih pembekal dari kalangan rakan rakan niaga yang kita kenali. 

 

Kenalpasti cara pemasaran

Langkah ini adalah langkah terpenting dalam mengendalikan bisnes dropship. Jika kita ada produk yang bagus, pembekal yang dipercayai tapi tidak mempunyai landasan pemasaran yang tepat, bisnes dropship kita takkan kemana juga. Ada banyak cara untuk kita memasarkan produk kita. Antaranya melalui medium pengiklanan percuma, blog, website dan yang paling popular adalah Facebook. Percaya atau tidak, seorang pelajar boleh membuat minimum RM2000 sebulan secara sambilan dengan bisnes dropship sahaja? 

 

              Facebook adalah laman sosial yang paling popular di abad ini. Banyak peluang perniagaan dan pekerjaan baru diwujudkan melalui Facebook. Itu kita tak dapat sangkalkan lagi. Dan Facebook jugalah medium pemasaran yang paling tepat untuk kita memasarkan produk bisnes dropship kita. Pun begitu, ada banyak perkara yang kita perlu ketahui sebelum kita memasarkan produk kita dalam Facebook. Perlu kita ingat, Facebook mempunyai undang undang bagi sesiapa yang mahu berniaga dalam website mereka. Kita perlu patuh jika tak mahu profile atau laman kita dipadam secara tiba tiba oleh pihak Facebook. Antara perkara perkara yang penting untuk kita tahu dalam pemasaran perniagaan di Facebook adalah:

 

Bina profile peribadi yang kukuh

Jika kita berada di tempat pembeli, mahukah kita membeli dengan pihak yang mempunyai latar belakang yang misteri? Pastinya kita akan teragak agak kan? Jadi sebelum bermula dengan bisnes dropship, kita harus ada satu profile peribadi yang kukuh di Facebook. Bina satu kepercayaan dengan meletakkan maklumat peribadi kita yang penting sahaja dalam Facebook. Pamerkan juga gambar kita sendiri dan bukannya gambar haiwan atau tumbuhan. Biar orang kenal siapa kita, baru orang akan percaya pada kita. Tidak perlu meletakkan maklumat yang terlalu peribadi, cukuplah dengan meletakkan penerangan siapa kita, pekerjaan kita atau di mana kita melanjutkan pelajaran, juga sertakan website kita. Kita perlu membina kredibiliti dalam memperoleh kepercayaan bakal pelanggan.

 

Bina fanpage

Fanpage Facebook adalah benda wajib jika kita mahu berniaga dalam Facebook. Ini kerana peraturan Facebook yang baru tidak membenarkan sebarang aktiviti perniagaan dalam profile peribadi. Maksudnya, jika kita terlalu kerap tag rakan rakan kita dengan gambar produk kita tanpa kebenaran mereka, ianya akan dianggap sebagai spam. Dan tidak semena mena Facebook kita tadi boleh dipadam tanpa sebarang amaran. Jika kita terlalu menggunakan profile peribadi sebagai medium mengiklankan produk kita secara terus pula, pastinya rakan rakan kita akan merasa sedikit terganggu. Profile peribadi Facebook adalah tempat terbaik untuk membina kredibiliti tapi bukanlah tempat terbaik untuk mengiklankan produk. Di dalam Fanpage kita, masukkan semua maklumat yang penting untuk memudahkan pelanggan mencari maklumat. Segala info seperti harga, saiz, stok, warna dan sebagainya perlu diletakkan dalam bahagian deskripsi gambar. Buat juga satu nota yang menerangkan kelebihan produk dan cara membuat pembayaran. 

 

Berhubung dengan pembekal

Kita haruslah mempunyai cara untuk berhubung dengan pembekal secara kerap bagi memudahhkan urusan. Add pembekal sebagai rakan kita, tapi jangan pula mendedahkan dia adalah pembekal kita. Kalau boleh carilah pembekal yang menyediakan platform group khas bagi ejen ejennya. Ini bakal memudahkan segala urusan anda jika mendapat banyak pesanan nanti. Dapatkan segala maklumat tentang produk daripada pembekal. Selalunya pembekal yang baik akan menyedian ayat ayat jualan, ciri ciri produk dan penerangan lengkap kepada ejen ejennya. Kita sebagai ejen dropship harus peka dengan stok yang ada pada pembekal. Jangan berjanji  kepada pelanggan dengan stok sebelum mendapat pengesahan daripada pembekal.

 

Jangan spam 

Spam adalah perkara yang paling dibenci pengguna Internet. Sebagai ejen dropship yang baik, jangan sesekali memasarkan produk secara tidak sah di fanpage fanpage popular yang lain. Baik dari segi meletakkan link di ruangan komen atau menulis di bahagian wall post. Jika ada pihak yang menandakan post kita sebagai spam, kita bakal diblock oleh Facebook atau lebih teruk lagi, dibanned untuk tempoh yang lama. Bukan hanya di fanpage lain, kita juga tidak dibenarkan untuk mengganggu rakan rakan profile peribadi kita dengan post iklan kita di profile mereka. Ia adalah satu tindakan yang tidak menyenangkan. 

 

                  Ada banyak cara lain lagi untuk memasarkan produk di Facebook secara sah tanpa perlu memenatkan diri membuat kaedah pemasaran haram yang tidak tentunya mendatangkan untung. Di awalnya kita perlu mengeluarkan modal sedikit untuk kos pemasaran tetapi anggaplah ia sebagai satu usaha untuk mendapatkan hasil yang terbaik dan memuaskan. Antara kaedah pemasaran sah yang kita boleh lakukan di Facebook adalah:

 

Sewa ruang iklan

Terdapat banyak laman laman fanpage yang mempunyai ratusan ribu ‘Like’. Mereka biasanya akan menyediakan platform iklan di page mereka dengan sedikit bayaran. Tidak rugi beriklan dengan mereka kerana iklan produk kita akan dilihat oleh ramai prospek. Tips untuk memilih fanpage yang bagus untuk beriklan bukan hanya dilihat dari segi jumlah ‘Like’ semata mata, tapi dari segi aktifnya aktiviti dalam fanpage itu dan TAT (Talking About This). Lebih banyak TAT yang sesuatu fan page itu ada, lebih tinggi nilainya kerana ia menunjukkan fanpage itu mendapat sambutan yang bagus.

 

Atur jadual post yang konsisten

Di fanpage kita sendiri pula, kita perlu konsisten dalam mengiklankan produk. Pastikan ada paling kurang 5 post setiap hari. Kini, Facebook mempunyai fungsi untuk set post secara berjadual terlebih dahulu. Kita tidak perlu lagi duduk di hadapan Facebook 24 jam untuk menjalankan bisnes Facebook. Kita hanya set dengan ayat ayat jualan yang bagus, dan tunggu respon dari pelanggan. Pastikan setiap post kita itu berbeza beza kandungannya supaya tidak menimbulkan bosan pada pelanggan. Jangan lupa sertakan juga maklumat lengkap. Jangan juga hanya tumpu perhatian pada iklan berbentuk teks. Iklan berbentuk gambar adalah yang paling menarik perhatian pelanggan. 

 

Facebook Ads

Facebook ads adalah salah satu cara yang paling berkesan dan popular di kalangan peniaga dropship. Memang benar kita perlu mengeluarkan sedikit modal untuk beriklan dengan Facebook ads, namun hasil yang kita bakal dapat nanti sangat lumayan. Beriklan dengan Facebook ads lebih sistematik dan teratur kerana ia merangkumi target pasaran kita secara lengkap. Pendek kata, hanya mereka yang berada di dalam target pasaran kita saja yang akan melihat post iklan. Dengan cara begini kita tidak perlu membuang masa beriklan dengan mereka yang bukan terdiri dari golongan sasaran. 

 

Untuk beriklan dengan Facebook ads, kita perlu mempunyai akaun Paypal terlebih dahulu Akaun Paypal sememangnya satu benda yang wajib ada pada seorang peniaga online. Untuk mendaftar dengan Paypal kita perlu ada kad kredit atau kad debit. Satu pilihan yang paling mudah, daftarlah kad debit di Maybank berdekatan. Kemudian, kita juga harus tahu peraturan untuk mendaftar iklan dengan Facebook ads. Syarat syarat dari pihak Facebook kerap kali berubah, jadi kita harus peka. 

 

JV dengan rakan niaga

Contohnya, kita jual tudung manakala rakan kita jual keronsang. Jadi ada satu kesinambungan di situ. Kita boleh berkerjasama dengan rakan kita dan membuat jualan combo yang menarik minat pelanggan. Kita juga boleh tukar tukar post di fanpage masing masing atas dasar suka sama suka. Dengan cara ini bakal mewujudkan persaingan yang sihat di kalangan peniaga dropship. 

 

Buat promosi menarik

Pelanggan pasti akan bosan apabila melihat iklan yang sama berulang kali setiap hari. Kita harus bijak memanipulasikan ayat ayat jualan supaya pelanggan sentiasa tertanya tanya akan kelebihan produk kita. Bina skrip jualan yang berbeza beza setiap hari. Biar kandungannya sama tetapi ayatnya berbeza. Cipta juga satu jualan murah atau beri diskaun kepada pelanggan. Sebagai contoh kita boleh memasukkan harga postage dalam harga jualan kita. Jadi kita boleh maklumkan kepada pelanggan bahawa kos pos sudah pun termasuk dalam harga. Maka, mereka dapat merasakan bahawa harga produk kita itu lebih murah daripada biasa. Selalu ambil masa untuk mengkaji harga pasaran produk yang sama jenis dengan kita. Kita tidak boleh menjual dengan terlalu murah dan terlalu mahal. Apa yang penting biarlah harga itu setimpal dengan usaha yang kita lakukan. Apabila kita mahu mark up harga barangan, pastikan nilai yang kita tetapkan itu munasabah. Kita juga boleh mengeluarkan modal dengan menyertakan hadiah misteri kepada setiap pelanggan yang bertuah. Atau kita boleh memberi harga promosi kepada 10 orang pelanggan pertama. 

 

Respon kepada pelanggan

Sentiasa peka dengan setiap soalan yang diberikan bakal pelanggan di ruangan komen. Jawab dengan ayat yang mesra pengguna. Jika boleh berborak dengan mereka seperti seorang kawan. Di samping itu, terangkan kelebihan produk kita kepada mereka. Jangan sesekali menjawab pertanyaan prospek dengan kasar atau nak tak nak. Mood pelanggan boleh berubah hanya dari cara kita menjawab pertanyaan mereka. Pelanggan akan rasa dihargai jika kita menjawab semua pertanyaan mereka walaupun kadang kala jawapan kepada pertanyaan itu sudah ada pada bahagian deskripsi yang kita sediakan. Kita juga harus jaga hati prospek. Mungkin mereka banyak bertanya sekarang tapi tidak membeli. Mungkin juga prospek yang kerap bertanya ini akan membeli dengan kuantiti yang banyak pada masa yang akan datang.

 

                  Di antara semua tips dan cara yang ditunjukkan di atas, apa yang penting dalam menjayakan bisnes dropship ini adalah kesungguhan dan tidak putus asa. Banyak cabaran yang bakal kita perolehi, contohnya seperti barang lambat sampai dari pembekal kepada pembeli, diberi komisen yang sedikit dan stok barang yang selalu tidak lengkap. Tapi itu semua bakal menjadi pengalaman yang sangat berharga buat kita. Tidak mengapa jika kita pernah gagal dalam membuat bisnes dropship tapi pastikan yang kita bangkit setiap kali kita jatuh. Untuk yang belum biasa dengan dropship, fokus lah dengan satu produk saja dulu. Kemudian jika kita sudah maklum dan faham selok belok dropship, bolehlah kita menjual pelbagai produk dari pembekal yang berasingan pula. Yang penting skill pengurusan masa dan kewangan kita kuasai terlebih dahulu. 

 

                   Mulakanlah bisnes dropship sekarang dan rasai sendiri nikmat mempunyai pendapatan sampingan yang lumayan. Ada juga dikalangan peniaga dropship yang sanggup berhenti kerja semata mata ingin menumpukan perhatian kepada bisnesnya. Ini menunjukkan betapa besarnya potensi bisnes dropship. Mantapkan usaha dengan membaca artikel mengenai bisnes dropship dan gali teknik teknik berniaga di Inetrnet dari pakar pakar Internet Marketer yang dikenali. Bisnes dropship bermula dengan hampir tiada modal dan bakal memberikan pulangan lumayan kepada mereka yang selalu berusaha dan tidak putus asa. Jom dropship.

Baca juga : Pemasaran Gerilla

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Exit mobile version