Wawasan 2020 Sejarah STPM Semester 3

Kongsikan Sekarang

Wawasan 2020 Sejarah STPM Semester 3

Wawasan 2020

 

4.3 Wawasan 2020

4.3 Wawasan 2020

Soalan 103: Huraikan cabaran dan strategi utama Negara Malaysia dalam usaha merealisasikan wawasan 2020

Pengenalan

  • Wawasan 2020 merupakan gagasan negara untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Idea wawasan ini telah dicetuskan oleh Perdana Menteri keempat, iaitu Tun Dr Mahathir bin Mohamad. Matlamat Wawasan 2020 adalah untuk menjadikan negara ini sebagai sesebuah negara industri yang maju dan setanding dengan negara-negara maju yang lain.
  • Terdapat beberapa perkara asas yang perlu dititik beratkan untuk mencapai kemajuan bersepadu seperti perpaduan rakyat, kestabilan politik, ketinggian taraf hidup, kekukuhan nilai moral dan etika, kekukuhan sistem kerajaan, ketinggian maruah bangsa serta semangat yakin diri bangsanya. Terdapat Sembilan cabaran yang perlu dihadapi oleh negara Malaysia bagi merealisasikan Wawasan 2020.

Isi-isi Penting:

  1. Cabaran yang pertama ialah membina bangsa Malaysia yang bersatu padu. Malaysia menjadi negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum dengan rakyat hidup dalam harmoni, bekerjasama sepenuhnya secara adil serta didokong oleh satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara. Asas kekuatan penting untuk kejayaan sesebuah negara ialah perpaduan yang menjadi cabaran pertama Wawasan 2020. Semua ini telah dilakukan melalui pelbagai dasar kerajaan sepanjang tiga dekad lalu seperti Dasar Bahasa Kebangsaan, Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pelajaran Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan, dan Dasar Pembangunan Nasional sebagai usaha mewujudkan perpaduan kaum dan rakyat yang beridentitikan Malaysia.
  1. Cabaran kedua ialah membina masyarakat berjiwa bebas, tenteram, dan keyakinan. Masyarakat Malaysia mesti dapat dikenali melalui usaha untuk mencapai kecemerlangan, sedar terhadap semua kemampuan yang ada, tidak mudah mengalah kepada sesiapa dan dihormati oleh rakyat negara lain. Masyarakat Malaysia perlu berbangga dengan pencapaian dan berani menghadapi pelbagai masalah. Rakyat Malaysia yang memiliki dan menghayati ciri-ciri tersebut akan menjadi sebuah bangsa gagah yang sentiasa berusaha untuk memajukan negara sehingga dapat mengangkat martabat bangsa dan negara di persada antarabangsa serta mampu mematahkan serangan musuh dengan mudah.
  1. Seterusnya, memupuk dan membina masyarakat demokratik yang matang. Malaysia perlu mengamalkan satu bentuk persefahaman yang matang dan prinsip demokrasi yang menjadi amalan boleh dijadikan contoh oleh kebanyakan negara membangun yang lain. Sebuah masyarakat yang matang dapat dilahirkan sekiranya dipupuk dan dibina. Masyarakat demokratik memiliki kebebasan untuk memilih kerajaan. Rakyat yang rasional akan menggunakan hak-hak demokrasi dengan bijak. Perasaan tidak puas hati dan teguran disalurkan melalui saluran tertentu secara berhemah dan bersifat membina.
  1. Selain itu, Malaysia perlu mewujudkan masyarakat yang bermoral dan beretika bagi merealisasikan Wawasan 2020. Etika melibatkan tingkah laku atau perangai yang berkait rapat dengan tabiat dan kelakuan manusia. Tabiat dibina di atas tiga unsur, iaitu ilmu, kemahiran, dan keinginan. Bagi membentuk etika yang baik, seseorang perlu mempunyai ilmu pengetahuan, kemahiran, dan keinginan yang tinggi. Ketiga-tiga unsur penting itu perlu  diasah dan dipupuk sekaligus dihayati bagi melahirkan rakyat Malaysia yang dinamik dan berusaha untuk meningkatkan hasil kerja yang cemerlang. Kepatuhan kepada agama, pengamalan budaya dan tradisi yang cemerlang, keberkesanan sistem pendidikan, dan keunggulan sistem kekeluargaan juga menjadi sumber untuk membina sebuah masyarakat yang bermoral dan beretika. Falsafah Pendidikan Negara contohnya, bertujuan untuk melahirkan masyarakat berilmu, berakhlak, seimbang dan harmonis.
  1. Cabaran yang kelima ialah mewujudkan masyarakat yang matang, liberal, dan bertolenrasi. Masyarakat yang matang mampu berfikir secara rasional dan tidak bertindak secara melulu. Mereka akan membebaskan diri daripada fahaman sempit dan berfikiran terbuka  menerima perubahan dan pandangan orang lain. Masyarakat yang bertolenrasi dapat digambarkan melalui kebebasan yang dianuti oleh setiap rakyat untuk mengamalkan adat resam, kepercayaan, dan kebudayaan masing-masing tanpa menjejaskan kesetiaan kepada negara. Dasar Kebudayaan Kebangsaan, Dasar Pendidikan Kebangsaan  dan Akta Bahasa Kebangsaan merupakan langkah ke arah mewujudkan masyarakat yang matang, liberal dan bertolenrasi.
  1. Seterusnya, Malaysia perlu mewujudkan masyarakat yang maju dan saintifik.       Masyarakat maju ialah masyarakat progresif yang dapat menyerap segala perubahan persekitaran agar dapat mencapai kecemerlangan. Masyarakat yang maju tidak boleh terpisah daripada masyarakat saintifik. Penguasaan ilmu pengetahuan berunsurkan sains dan teknologi merupakan ukuran kemajuan sesuatu bangsa. Masyarakat yang maju dan saintifik mempunyai budaya ilmu yang menjana produktiviti, kreativiti dan inovatif. Malaysia seharusnya mempunyai daya perubahan tinggi dan memandang ke hadapan dan turut sama menyumbang kepada tamadun saintik dan teknologi masa depan.
  1. Cabaran ketujuh ialah mewujudkan masyarakat berbudaya penyayang. Hal ini merujuk kepada sistem sosial yang meletakkan kepentingan masyarakat melebihi kepentingan individu dan kebajikan insan tidak berkisar kepada negara atau individu, tetapi di sekeliling sistem kekeluargaan yang kukuh.Masyarakat penyayang akan hidup muafakat, saling memahami, hormat menghormati dan saling membantu antara satu sama lain. Masyarakat berbudaya penyayang mengutamakan kepentingan masyarakat melebihi kepentingan diri sendiri.Asas pembentukan masyarakat penyayang ialah kepatuhan kepada agama, kasih sayang dalam kekeluargaan dan amalan nilai-nilai murni. Hubungan sesama manusia dalam masyarakat juga ditekankan dalam agama.Kasih sayang dalam masyarakat bermula daripada kasih sayang yang terjalin dalam keluarga. Hubungan baik sesama manusia amat ditekankan dalam agama. Budaya tradisi yang penuh dengan nilai-nilai murni perlu ditonjolkan dan dihayati semula untuk memupuk masyarakat yang bersifat penyayang.
  1. Cabaran seterusnya ialah menjamin masyarakat yang adil dan saksama dalam bidang ekonomi. Pengagihan kekayaan negara dilaksanakan secara adil dan saksama dengan mewujudkan perkongsian secara bersama dalam segenap masyarakat. Masyarakat yang dibentuk itu akan menghapuskan pengenalan kaum yang berdasarkan fungsi ekonomi yang diwarisi dari zaman penjajah serta kemunduran kaum dari sudut ekonomi. Kerajaan telah melaksanakan pelbagai rancangan pembangunan ekonomi untuk menjamin keadilan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat seperti Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pembangunan Nasional dan Rancangan Pembangunan Lima Tahun.
  1. Cabaran yang terakhir ialah memupuk dan membina masyarakat yang makmur. Masyarakat yang makmur ialah masyarakat yang hidup dalam kemewahan dan mempunyai taraf hidup yang tinggi. Masyarakat makmur juga bermaksud tidak ada anggota masyarakat yang hidup dalam kemiskinan. Pendapatan isi rumah dan pendapatan negara juga berada pada tahap yang tinggi. Malaysia perlu mempunyai kekuatan ekonomi untuk bersaing, dinamik, giat, dan kental dalam menghadapi pelbagai cabaran yang mendatang untuk menjadi masyarakat yang makmur.

Kesimpulan

  • Kesimpulannya, Wawasan 2020 akan terus memacu kemajuan negara. Dasar-dasar kerajaan adalah bertujuan merealisasikan Wawasan 2020.
  • Kesejahteraan rakyat yang menjadi agenda utama pembangunan negara dapat dicapai dengan keadilan ekonomi dan perpaduan negara.

 

 

Baca juga Pembentukan Negara Bangsa STPM Semester 2

Sumber nota Sejarah blog STPM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *