Kerja Kursus Ekonomi Tingkatan 6 (STPM)

Kongsikan Sekarang

Kerja Kursus Ekonomi Tingkatan 6 (STPM)

Hasil Kerja kursus Ekonomi Tingkatan 6 (Sistem Baharu)

Tajuk :

Kajian tentang ciri-ciri yang dimiliki oleh Tan Sri Loh Boon Siew dan faktor-faktor luaran dalam mencapai  kejayaan dalam bidang perniagaan.

Pengenalan

Syarikat Boon Siew Sdn. Bhd. yang sinonim dengan motosikal Honda diasaskan oleh Mendiang Tan Sri Dato’ Loh Boon Siew. dengan memiliki tahap ingatan yang amat dikagumi.Boon Siew, walaupun tidak tahu membaca dan menulis namun, beliau mampu menjadi jutawan dan memberikan peluang pekerjaan kepada ribuan pekerja hanya kerana persistensinya. Persistensi (persistency) adalah suatu sikap tidak mudah mengalah terhadap sebarang halangan, dugaan, cabaran dan masalah dalam merealisasikan sesuatu matlamat.Mendiang Tan Sri Dato’ Loh Boon Siew adalah seorang usahawan yang bijak dan telah berjaya mengambil peluang di dalam perniagaan pengedaran motosikal. Beliau menyedari bahawa kelebihan motosikal Honda adalah ringan dan kecil berbanding motosikal yang dikeluarkan oleh Eropah.Pengeluaran motosikal Honda ialah syarikat Oriental Holdings Bhd. telah memegang francais bagi memasang dan mengedarkan motosikal Honda sejak tahun 1957 lagi. Ia adalah hasil usaha sama perniagaan yang dimeterai antara pengasas Oriental, mendiang Tan Sri Loh Boon Siew dan pengasas Honda, Soichiro.Sekarang ini, anak syarikat Oriental, Kah Motor Co Sdn. Bhd. memasang motosikal Honda sementara Boon Siew mengedarkannya. Pada pendapat beliau, motosikal Honda adalah yang paling sesuai dengan masyarakat Malaysia. Berdasarkan andaian tersebut, beliau telah berusaha dan berjaya dalam memperoleh lesen sebagai pengedar tunggal bagi motosikal Honda di Malaysia. Hari ini, beliau telah menikmati kekayaan melalui perniagaan yang telah dicipta olehnya.Berbanding dengan jenama motosikal lain seperti Yamaha, Kawasaki atau pun motosikal dari negara Barat seperti Lambretta dan Vespa, motosikal Honda telah menambat hati majoriti keluarga di Malaysia.Daripada kampung sehinggalah kepada bandar besar, daripada budak belasan tahun sehingga kepada yang tua bongkok tiga pun motorsikal Honda tetap menjadi kenderaan tunggangan tetap dan mewarnai landskap kenderaan bermotor di jalan-jalan raya di Malaysia.

Latar  Belakang

Tan Sri Loh Boon Siew berasal dari kampung Hui ,daerah fukian,sebuah wilayah yang di anggap paling miskin di China pada sesuatu ketika dahulu, kehidupan keluarga beliau sangat miskin menyebabkan beliau tidak bersekolah tapi sebaliknya berkerja sebagai mengutip najis haiwan,dan memancing ikan untuk mendapatkan pendapatan. Ketika berumur 12 tahun ayahnya membawanya ke Pulau Pinang untuk berhijrah dan mencari sumber pendapatan. Beliau  berkerja di sebuah kedai mekanik,  di sebelah malam pula beliau berkerja membasuh bas dan upahnya 10 sen bagi setiap bas. Ketika umur beliau mencecah usia 18 tahun, Boon telah membeli 11 unit bas pertamanya dengan menggunakan wang simpanan sebanyak RM2,000 . Beliau membaiki bas tersebut dan menjualnya semula dengan harga RM12,000. Kemudiannya beliau membeli 39 unit bas  yang lain. Keuntungan disimpan sedikit demi sedikit  sementara bakinya dijadikan modal pusingan kedua.  Pada tahun 1942, kesemua wang hasil keringatnya dirampas oleh tentera penjajah Jepun semasa Perang Dunia ke 2. Tetapi Loh tidak berputus asa, selepas 1945 setelah Jepun kalah, dia mula menjual basikal dan peralatan motorsikal, kemudian dia mengembangkan perniagaannya untuk menjual kereta terpakai dan juga bas. Pada tahun 1950-an, Loh membuat langkah pertama dalam pembangunan hartanah dengan membina villa di Taman Saw Kit dan Jalan Loh Boon Siew di Pulau Pinang. Pada tahun 1958, ketika bercuti di Jepun Loh melihat motosikal Honda Super Cub sangat mendapat sambutan. Dia percaya bahawa mesin berkos rendah pasti akan mendapat pasaran yang meluas di Malaysia yang sedang membangun. Loh mengatur perjumpaan dengan Mr. Soichiro Honda pencipta asal motosikal itu kerana menyedari potensi besar Honda. Sebagai tanda ikatan kepercayaan dan hormat yang semakin mendalam, Japanese Honda Motor Co Ltd kemudian melantik Boon Siew sebagai pengedar tunggal motorsikal Honda di negara ini pada ketika 50 unit Honda 4-stroke cub dibawa masuk ke Malaysia. Beberapa tahun kemudian kilang dibuka di Pulau Pinang bagi memasang Honda Cub dan motosikal Honda telah dinamakan semula sebagai Boon Siew Honda. Honda Cub menjadi motosikal paling laris di Malaysia dan Loh Boon Siew sebagai orang pertama membawa masuk motosikal Honda Cub ke Asia Tenggara. Perkataan Kapcai berasal dari Honda Cub yang bermaksud motosikal kecil.Faktor kejayaan Dato Loh Boon Siew salah satunya ialah berjaya menempatkan kereta honda sebagai kenderaan ketiga terbesar dijual di negara ini sejak beberapa tahun lalu dan salah satu elemen kejayaan iaitu keinginan.kemahuan dan keghairan terhadap dunia perniagaan ,beliau menanamkan sikap mahu berjaya ,maka beliau telah tetapkan 100% jiwa dan raga kepada hal ehwal perniagaan yang di ceburi sepenuhnya.

Sumbangan

Beliau turut memberi sumbangan kepada masyarakat setempat untuk mengembangkan perniagaannya iaitu memberi peluang pekerjaan kepada penduduk yang dapat meningkatkan pendapatan penduduk di sekitarnya seterusnya dapat mengurangkan  jumlah kadar pengangguran di Negara kita. Dia turut memainkan peranan dalam gabungan singkat antara Kwong Wah Yit Poh dan The Star (Malaysia) pada 1974, dan antara jasa baiknya merupakan penubuhan Hospital Lam Wah Ee dan Rumah Orang Tua Pulau Pinang – (Penang Old Folks Home).Boon Siew, yang mempunyai dua isteri, Oh Guat Sim dan Ong Lay Wah, meninggal ketika tidur ketika berusia 79 pada 16 Februari 1995. Dia meninggalkan lima anak dan 18 cucu.

Ciri-ciri keusahawan Tan Sri Loh Boon Siew

Antara ciri-ciri keusahawanan yang dikenalpasti ada pada Tan Sri yang berjaya menjadikan beliau sebagai seorang usahawan yang berjaya dan amat disegani di Malaysia adalah:

 Berorientasikan Peluang

Semasa melakukan lawatan ke Osaka, Jepun pada tahun 1954, Tan Sri terlihat sebuah motorsikal bersaiz kecil atau ‘cub’ yang didapati sesuai untuk dibawa masuk ke Malaysia. Menurut sejarah, Tan Sri sanggup mengejar motorsikal terbabit untuk melihat dengan lebih dekat lagi ciri-ciri motorsikal terbabit. Ini kerana beliau berpendapat bahawa motorsikal jenis Honda tersebut amat sesuai untuk digunakan kerana saiznya yang kecil dan ringan sesuai untuk orang Asia yang rata-rata bersaiz kecil berbanding dengan motorsikal buatan Eropah. Pada ketika itulah, Tan Sri dapat melihat motorsikal Honda ‘cub’ sebagai satu peluang bagi beliau untuk dijual di Malaysia. Lantaran itu, Tan Sri telah berjaya mempengaruhi pengeluar motorsikal terbabit iaitu Honda Motor Japan Limited untuk melantik beliau untuk menjadi pengedar tunggal motorsikal Honda di Malaysia.

Dengan ciri orientasi peluang ini telah berjaya menjadikan Tan Sri sebagai usahawan yang berjaya. Kemampuan untuk menghidu peluang yang ada jelas menjadi kelebihan bagi seseorang individu untuk menjadi usahawan yang berjaya.

 Kemampuan Untuk Berwawasan

Sebagai usahawan yang berjaya, Tan Sri dilihat sebagai seorang yang mempunyai wawasan yang tinggi untuk syarikat yang beliau tubuhkan untuk membawa masuk motorsikal Honda ke Malaysia. Ini dapat dilihat dengan terbinanya kilang motorsikal yang pertama di Malaysia iaitu Boon Siew Assembly Plant milik Boon Siew Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Mak Mandin, Pulau Pinang. Dengan terbinanya kilang ini pada tahun 1969, motorsikal Honda tidak lagi dipasang di Jepun tetapi ia dipasang di Malaysia seterusnya dapat menjimatkan kos pemasangan dan jualan.Dengan terbinanya kilang ini, Boon Siew Sdn Bhd juga telah memperkenalkan beberapa model terbaru motorsikal Honda bermula pada tahun 1971 iaitu model Honda S90Z. Pada hari ini, terdapat pelbagai jenis motorsikal Honda yang berada di pasaran.Dengan sikap yang berwawasan tinggi inilah yang memacu Tan Sri Loh Boon Siew untuk terus berjaya terutama dalam bidang permotoran. Tidak semua usahawan mempunyai kemampuan untuk melihat ke hadapan seperti Tan Sri. Sikap positif ini senjata utama di dalam usaha beliau untuk terus bergerak maju di dalam industri permotoran Malaysia.

 Berkeyakinan Tinggi dan Optimistik

Walaupun Tan Sri ialah seorang yang buta huruf dan tidak mempunyai latar belakang akademik yang tinggi dan formal, ini tidak bermakna beliau tidak boleh menjadi seorang yang berjaya. Berbekalkan dengan daya ingatan yang kuat dan semangat untuk maju dan berjaya yang tinggi, Tan Sri berjaya untuk memanipulasi kemampuan daya ingatan beliau untuk menjadi seorang yang berjaya. Ini terbukti dengan kejayaan Tan Sri untuk mempengaruhi Honda Motor Limited Japan untuk melantik beliau sebagai pengedar tunggal motorsikal Honda di Malaysia.Kemampuan beliau untuk mempengaruhi pihak pengurusan Honda Motor Limited Japan ini dilihat sebagai satu kejayaan yang besar bagi rakyat Malaysia. Ini disebabkan bukannya mudah untuk mempengaruhi pihak pengurusan Honda Japan apatah lagi untuk membawa produk keluaran mereka ke negara yang pernah dijajah oleh tentera Jepun. Dengan persepsi rakyat Malaysia yang negative di mana timbul kemungkinan tidak ingin atau tidak mahu membeli barangan keluaran negara yang pernah menjajah di Malaysia iaitu Jepun, sedikit sebanyak tidak menggugat minat Tan Sri untuk menjual motorsikal Honda di Malaysia.Berbekalkan dengan keyakinan tinggi yang ada pada Tan Sri terhadap motorsikal Honda ini, jualan keseluruhan motorsikal Honda di Malaysia telah pun menjangkau lebih 2 juta unit sehingga ke hari ini. Sikap yakin untuk berjaya, optimistik dan berfikiran positif inilah yang telah menjadikan Tan Sri seorang usahawan yang berjaya.

 Mempunyai Tahap Komitmen dan Keinginan Untuk Berjaya Yang Tinggi

Tan Sri juga dilihat sebagai seorang yang mempunyai tahap komitment yang tinggi di dalam bidang permotoran. Daripada seorang pelatih mekanik pada awal ketibaan beliau di Malaysia sehinggalah beliau berjaya menjadi pengedar tunggal yang sah bagi mengedar dan menjual motorsikal Honda. Komitmen beliau bukan sahaja tertumpu kepada penjualan motorsikal Honda semata-mata tetapi atas dasar minat dan komitmen yang tinggi beliau mendirikan kilang motorsikal yang pertama di Malaysia yang terletak di Mak Mandin pada tahun 1969.Untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya seperti Tan Sri Loh Boon Siew, seseorang itu hendaklah mempunyai tahap komitment dan minat yang sangat tinggi terhadap bidang yang diceburi. Dengan komitmen yang tinggi ini, ia dapat membantu individu terbabit untuk menjadi seseorang yang yang berjaya dalam bidang yang diceburi.

Mengambil Risiko Yang Sederhana

Kami juga mendapati Tan Sri adalah seorang usahawan yang mengambil risiko secara sederhana. Ini dapat dilihat dengan terbinanya kilang motorsikal yang terletak di Mak Mandin. Dengan terbinanya kilang ini, maka jualan dan permintaan terhadap motorsikal dapat dipenuhi secara konsisten. Ini kerana sekiranya berlaku masalah di Negara Jepun, motorsikal Honda masih dapat dikeluar dan dijual kerana ia dibuat di Malaysia sendiri. Ini juga secara tidak langsung dapat mengurangkan kos jualan akibat cukai import yang dikenakan terhadap setiap motorsikal yang diimpot terus dari Jepun. Walaupun Boon Siew Sdn Bhd telah berjaya menjadi sebuah syarikat yang terkenal dan disegani di dalam bidang permotoran, Tan Sri mengambil keputusan untuk tidak menyenaraikan Boon Siew Sdn Bhd di Bursa Malaysia. Sehingga hari ini, Boon Siew Sdn Bhd masih lagi menjadi sebuah syarikat Sendirian Berhad. Ini secara tidak langsung dapat menjamin kestabilan syarikat kerana pegangan saham syarikat adalah terhad kepada keluarga Tan Sri atau pihak yang berkepentingan dengan Tan Sri sahaja.

Faktor-Faktor Persekitaran Luaran

Walaupun perjalanan Tan Sri untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya nampak mudah tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Senario ini bukan hanya berlaku terhadap Tan Sri sendiri malahan hampir kesemua usahawan yang berjaya pada hari ini telah melalui liku-liku yang sama sebelum bergelar usahawan yang berjaya. Ini kerana di dalam dunia keusahawanan, faktor-faktor persekitaran luaran dapat menjejaskan perjalanan seseorang individu untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya. Antara faktor-faktor luaran yang perlu dinilai oleh seseorang usahawan adalah:

 Politik dan Perundangan

Faktor ini adalah faktor yang terpenting yang harus diberi perhatian oleh seseorang usahawan. Ini kerana faktor politik dan perundangan yang stabil bagi sesebuah negara dapat menjamin kestabilan ekonomi negara terbabit. Seperti Tan Sri, kestabilan politik di Malaysia pada permulaan perniagaan beliau telah berjaya membantu beliau untuk berjaya. Ini berikutan ekonomi Malaysia pada ketika itu sedang giat dirancang oleh kerajaan kerana negara baru sahaja merdeka. Sudah tentu dengan kejayaan Tan Sri untuk mendapatkan lesen sebagai pengedar tunggal Honda di Malaysia mendapat sokongan kuat dari kerajaan Malaysia. Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan tahap ekonomi negara pada ketika itu.

 Ekonomi

Seorang usahawan yang berjaya juga harus mampu meramalkan pertumbuhan ekonomi sesebuah negara itu. Ini kerana pertumbuhan ekonomi yang stabil dapat memacu kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan dan seterusnya dapat membantu usahawan untuk berjaya. Walaupun pada permulaan perniagaan Tan Sri hanya dengan berbekalkan dengan hanya 15 buah motorsikal yang dibawa masuk ke Malaysia, akan tetapi dengan keadaan ekonomi yang sedang bertumbuh maju selepas kemerdekaan telah menyebabkan permintaan yang tinggi terhadap motorsikal berbanding dengan kereta. Ini disebabkan keadaan sosio-ekonomi rakyat Malaysia pada ketika itu belum lagi betul-betul berkembang maju.

 Sosio-budaya

Faktor sosio-budaya ini terbahagi kepada dua iaitu perubahan demografi dan juga keadaan sosial masyarakat setempat. Kedua-dua faktor ini sekiranya dapat diramal dengan sempurna ia dapat membantu usahawan untuk mengenalpasti potensi dan peluang perniagaan. Faktor sosio-budaya ini juga dapat mengenalpasti kuasa membeli pengguna.Selepas negara Malaysia mendapat kemerdekaan pada tahun 1957, trend sosial rakyat pada ketika itu mula berubah. Dengan hanya berbasikal untuk ke satu tempat seperti ke pejabat, rakyat Malaysia pada ketika itu sudah diperkenalkan dengan motorsikal oleh penjajah sebelum kemerdekaan. Tetapi kebanyakan motorsikal yang dibawa masuk oleh penjajah adalah bersaiz besar seperti jenama Norton yang tidak sesuai dengan saiz tubuh badan yang kecil masyarakat Malaysia.

Dengan melihat keadaan sosio-budaya yang sedang berubah inilah, Tan Sri Loh Boon Siew telah berjaya mengenalpasti peluang perniagaan yang baru iaitu dengan menjual motorsikal saiz yang kecil dan ringan atau lebih dikenali dengan motorsikal ‘cub’.

 Persaingan

Persaingan juga memainkan peranan yang penting di dalam bidang usahawan. Seseorang usahawan itu harus mengenalpasti pesaing mereka agar mereka dapat mengenalpasti kelebihan dan kelemahan masing-masing. Persaingan yang sihat dikalangan usahawan dapat memajukan sesebuah perniagaan akibat dari kemunculan inovasi-inovasi yang baru terhadap sesuatu produk tersebut. Bagi Boon Siew Sdn Bhd, pada awal perniagaannya kadar persaingan adalah amat sedikit. Ini adalah disebabkan pada ketika itu tidak ramai individu yang menceburi bidang keusahawanan khususnya dalam bidang permotoran. Dengan sedikit strategi pemasaran yang baik, Boon Siew Sdn Bhd telah berjaya untuk memonopoli industri penjualan motorsikal di Malaysia.

 Pelanggan/Pengguna

Faktor ini juga amat penting untuk diberi perhatian oleh usahawan. Ini kerana pelanggan atau pengguna inilah yang bakal menjadi penentu kejayaan sesebuah perniagaan tersebut. Sekiranya produk yang disediakan gagal memenuhi kehendak pengguna, sesebuah perniagaan itu boleh mengalami kegagalan. Pengguna ini juga adalah cabang pemasaran yang terbaik bagi sesebuah perniagaan kerana sekiranya produk yang disediakan berkualiti dan memenuhi kehendak mereka, sudah tentu produk itu akan terus menjadi perhatian mereka.Walaupun motorsikal Honda dari negara Jepun iaitu negara yang pernah menjadi penjajah Malaysia satu ketika dulu, Tan Sri percaya bahawa motorsikal yang bakal dijual akan diminati ramai. Ini dapat dibuktikan dengan hanya 12 tahun menceburi bidang permotoran Malaysia, motorsikal Honda telah mendapat status No. 1 Perjualan Terbaik Motorsikal pada tahun 1970. Dengan berbekalkan motto “You meet the nicest people on a Honda”, ia secara tidak langsung telah menjadikan jenama Honda sangat popular di Malaysia pada ketika itu.

 Proses Kreativiti

Walaupun Tan Sri adalah seorang yang buta huruf dan tidak mempunyai latar belakang akademik yang tinggi serta formal, ia tidak menghalang Tan Sri daripada menjadi seorang usahawan yang berjaya. Ini dapat dilihat dengan kejayaan motorsikal Honda untuk menjadi motorsikal nombor satu di Malaysia sehingga ke hari ini. Tan Sri Loh Boon Siew ialah seorang yang mempunyai tahap daya ingatan yang sangat tinggi. Dengan keyakinan yang tinggi untuk berjaya, Tan Sri dilihat telah berjaya mengenalpasti satu produk yang jelas amat diperlukan oleh rakyat Malaysia iaitu motorsikal bersaiz kecil dan ringan. Apabila Tan Sri ke Osaka, Jepun pada tahun 1957, Tan Sri telah melihat sebuah motorsikal yang bersaiz kecil dan ringan berada di jalan raya bandar Osaka, Jepun. Maka timbullah idea Tan Sri untuk cuba menjual motorsikal jenis ini di Malaysia.Lantaran itu, Tan Sri terus berhubung dengan Honda Motors Japan Limited bagi mendapatkan hak untuk menjadi pengedar tunggal di Malaysia. Tan Sri juga dilihat telah menjanakan idea yang bernas iaitu dengan membina kilang motorsikal di Mak Mandin. Langkah proaktif ini telah berjaya memastikan motorsikal Honda terus diminati di Malaysia. Dengan terbinanya kilang ini, ia dapat menjamin kestabilan harga jualan motorsikal Honda di Malaysia di mana faktor-faktor kenaikan duti import dapat diminimakan kerana pengeluaran motorsikal Honda dibuat secara domestik.Selain daripada aktif dalam bidang permotoran, Tan Sri juga telah memperluaskan usaha niaganya dalam pembangunan hartanah, perladangan dan perhotelan melalui syarikat perlaburannya iaitu Oriental Holdings Sdn Bhd. Oriental Rubber and Palm Oil Sdn Bhd adalah anak syarikat kepada Oriental Holdings Sdn Bhd yang mengembangkan usaha niaga dalam sektor perladangan khususnya kelapa sawit ke Indonesia pada tahun 1994. Ini menunjukan Tan Sri adalah seorang yang kreatif di mana beliau tidak mahu bergantung kepada satu bidang peniagaan (permotoran) sahaja.

Melalui kenyataan di atas, kita dapat melihat bahawa proses kreativiti amat diperlukan untuk menjadi usahawan yang berjaya. Usahawan tidak perlu untuk menjadi terlalu kreatif di dalam mengenalpasti produk yang dipasarkan. Seperti Tan Sri, idea beliau hanya timbul semasa lawatannya ke Osaka, Jepun. Idea yang timbul secara tiba-tiba atau “prompt idea’ inilah telah menjadikan beliau usahawan yang berjaya.

Kesimpulan

Untuk menjadi seseorang usahawan yang berjaya bukanlah jalan yang mudah untuk dicapai. Seseorang itu haruslah bijak di dalam meramalkan produk yang sesuai untuk dipasarkan. Produk tersebut perlulah bersesuaian dengan faktor sosio-budaya masyarakat setempat. Idea untuk mendapatkan produk yang sesuai untuk dipasarkan juga bukanlah perlu dijanakan melalui proses yang panjang atau sukar, tetapi idea yang timbul secara tiba-tiba juga dapat membantu seseorang itu untuk menjadi usahawan yang berjaya.

Seperti Tan Sri Loh Boon Siew, idea beliau yang datang secara tiba-tiba semasa berada di Osaka, Jepun itulah yang telah menjadikan beliau seorang usahawan yang berjaya. Dengan konsep “Not to reinvent the wheel” inilah yang telah memudahkan usaha beliau untuk menjadi usahawan yang berjaya. Dengan hanya membawa masuk motorsikal Honda ke Malaysia sebanyak 15 unit sahaya pada peringkat permulaan, ia terus mendapat tempat di hati rakyat Malaysia. Sehingga hari ini, lebih dari 8 juta unit motorsikal Honda berada di atas jalan raya Malaysia.

Rujukan

  1. Honda Boon Siew Sdn Bhd Website.

– http://www.boonsiew.com.my/HondaMotorcycles/frmIndex.aspx

  1. http://choongkweekim.blogspot.com/search/label/Loh%20Boon%20Siew
  1. The Star

http://www.ohb.com.my/launcing-of-late-sri-loh-boon-siew-book.html

  1. All Malaysia.Info

http://allmalaysia.info/news/story.asp?file=/2004/8/19/8627557&sec=mi_penang

5.http://newsletter.nlb.gov.sg/issue_Dec_Jan07/reviews/bookreviews/newtitle.asp#Anchor-8

  1. Sodri Ariffin (2002).Keusahawanan: Rahsia ke Puncak Kejayaan.Petaling Jaya. Prentice Hall. Sdn. Bhd.
  2. Profesor Dr. Ansary Ahmed et. all(2007). Open University Malaysia:Entrepreneurship OUMM 2103.Kuala Lumpur. MeteorDoc. Sdn. Bhd.

Semoga membantu anda untuk membuat kerja kursus dan sebagai rujukan anda..

Salam damai.

Ditulis sepenuhnya oleh : JACKLER JOHN.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Exit mobile version