Karangan SPM Pelancongan

Kongsikan Sekarang

Karangan SPM Pelancongan

 

Memang tidak dapat dinafikan bahawa sektor pelancongan telah menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara Malaysia. Bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Datuk Sabaruddin Chik, menjelaskan bahawa sektor pelancongan akan terus menawarkan sejumlah RM 15.2 billion menjelang tahun 2000 melebihi daripada jumlah yang dijangkakan. Berdasarkan hakikat itu, usaha-usaha perlu ditingkatkan lagi oleh semua pihak supaya setiap perancangan yang diatur terhadap industri pelancongan dapat berjalan dengan lancar.

Keistimewaan Malaysia dapat diperhatikan melalui budaya dan etika kerja penduduknya, bangunan dan perusahaannya, tempat-tempat sejarah yang unik, dan keindahan alam semulajadinya seperti bukit-bukau yang menghijau, rangkaian pulau yang cantik, air terjun yang bertingkat-tingkat, dan pantainya yang putih bersih. Keistimewaan-keistimewaan tersebut menjadi faktor pendorong kepada kedatangan pelancong ke negara kita. Untuk menggalakkan lagi kedatangan mereka, langkah-langkah yang wajar dan program terancang harus dilaksanakan, seperti membuka tempat-tempat rekreasi yang baru dan berpotensi, dan melaksanakan pembangunan di kawasan pelancongan. Ini termasuklah menyediakan prasarana dan kemudahan penginapan untuk kegiatan pelancongan, serta mengekalkan tempat-tempat bersejarah. Projek pembangunan semula jadi juga dapat mendatangkan pulangan yang besar kepada ekonomi negara.

Kita juga dapat mengembangkan aktiviti pelancongan melalui usaha-usaha politik seperti menjalinkan hubungan baik dengan negara-negara luar yang boleh dilakukan melalui misi-misi lawatan rasmi. Di samping itu, pihak Perbadanan Pelancongan Malaysia boleh memajukan industri pelancongan dengan cara mengedarkan risalah tentang keistimewaan-keistimewaan yang terdapat di Malaysia, misalnya tempat-tempat pelancongan yang menarik, tempat-tempat yng bersejarah, pelbagai kebudayaan kaum, makanan masyarakat setempat, dan sebagainya. Usaha-usaha promosi boleh dijalankan menerusi penayangan filem-filem rencana tentang keindahan negara Malaysia.

Agensi-agensi pelancongan juga boleh memainkan peranan dengan cara menawarkan pakej pelancongan yang berpatutan agar pelancong mudah tertarik dan tidak menghadapi masalah untuk berkunjung ke negara kita.

Di samping kestabilan politik, pihak kerajaan juga harus memastikan perkembangan ekonomi negara terus meningkat. Oleh itu, pengeluaran pelbagai barangan tempatan dan industri desa seperti kraf tangan, batik, dan barangan makanan perlu ditingkatkan. Seterusnya, kemudahan tempat membeli-belah dan kawasan bebas cukai harus disediakan untuk menampung keperluan pelancong. Dengan itu, kemudahan-kemudahan tersebut akan menjadikan tarikan kepada pelancong untuk berkunjung ke negara kita. Satu perkara lagi ialah pihak kerajaan perlu memastikan nilai mata wang negara terus berkeadaan stabil.

Masyarakat atau penduduk tempatan juga boleh berusaha untuk menarik minat pelancong. Mereka boleh mengamalkan corak hidup yang harmoni, beramah mesra, bersopan santun, dan bertoleransi dengan para pelancong. Sikap biadab dan karenah buruk penduduk tempatan akan memberikan persepsi negatif kepada pelancong. Para pelancong akan bertindak lebih drastik dengan melaporkan kepada mana-mana media yang akhirnya menjatuhkan imej negara. Oleh itu, untuk meningkatkan lagi imej negara, kebersihan setempat juga harus dijaga.

Kesimpulannya, industri pelancongan merupakan satu projek atau program pembangunan yang menguntungkan negara daripada pelbagai sudut. Sebagai satu industri yang menguntungkan, faktor-faktor semula jadi yang menarik dalam negara harus dikekalkan. Manakala semua pihak sama ada yang terlibat secara langsung hendaklah mengambil tahu tentang industri ini. Orang awam sekurang-kurangnya boleh memainkan peranan dengan cara bertegur sapa dengan para pelancong atau sekadar mengukir senyuman sebagai tanda persahabatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Exit mobile version