Karangan Pendek Sambutan Hari Guru

Kongsikan Sekarang

Karangan Pendek Sambutan Hari Guru

 

Sambutan Hari Guru di Sekolah Saya

          Tanggal 16 Mei merupakan Hari Guru. Sekolah saya telah mengadakan majlis sambutan Hari Guru di dewan sekolah. Sambutan ini bertujuan untuk menghargai jasa dan pengorbanan guru dalam usaha membentuk generasi yang berwibawa.
Tepat pada pukul 8.00 pagi, guru-guru dan murid-murid telah berhimpun di dalam dewan. Semua warga sekolah berdiri tegak untuk menyanyikan lagu “Negaraku”, lagu negeri dan lagu sekolah. Selepas itu, Guru Besar menyampaikan ucapan di atas pentas. Beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada para guru atas sumbangan dan pengorbanan mereka dalam bidang pendidikan. Beliau turut mengucapkan “Selamat Hari Guru” kepada semua guru.
Seterusnya, murid-murid mengadakan persembahan di atas pentas. Contohnya, tarian, nyanyian, lawak jenaka, orkestra, diabolo dan pertunjukan silap mata. Persembahan-persembahan yang menarik telah menghiburkan hati para penonton.
Kemudian, pengerusi majlis mempersilakan guru besar untuk menyampaikan cenderahati dan sijil penghargaan kepada guru-guru yang telah lama berkhidmat di sekolah kami. Cikgu Kamarudin telah dipilih sebagai Tokoh Guru pada tahun ini. Semua warga dewan memberikan tepukan yang gemuruh kepada beliau.
Selepas acara penyampaian hadiah, semua guru dijemput ke kantin untuk jamuan ringan. Kami turut mengambil kesempatan ini untuk memberikan hadiah berupa bunga, kad ucapan dan bekas tangan kepada guru-guru yang disayangi sebagai tanda penghargaan. Kami juga merakam gambar dengan guru-guru untuk dijadikan kenangan.
Majlis sambutan Hari Guru berakhir pada pukul 1.00 petang. Kami pun pulang ke rumah dengan gembira.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *