Institusi Khalifah STPM Semester 2

Kongsikan Sekarang

Institusi Khalifah STPM Semester 2

 

1.5 Institusi Khalifah

1.5 Institusi Khalifah

Soalan 21: Bincangkan konsep dan tanggungjawab seorang khalifah.

Pendahuluan :

  • Institusi khalifah sangat penting dalam sejarah pemerintahan Islam kerana ia merupakan lambang pembinaan sebuah negara Islam sebenar yang berpandukan al-Quran dan sunnah. Ia ialah contoh pemerintahan terbaik sebagai panduan untuk seorang pemimpin atau pemerintah bagi membentuk sebuah negara yang bertamadun.
  • Sejarah khalifah bermula selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w, iaitu apabila Abu Bakar al-Siddiq dilantik menjadi khalifah pertama, diikuti oleh tiga orang sahabat, iaitu Umar bin al-Khattab, Uthman bin Affan dan Ali bin Abi Talib. Era khalifah selepas itu ialah khalifah daripada kerajaan Umayyah dan Abbasiyah. Namun, institusi khalifah mulai merosot selepas kerajaan Abbasiyah kerana kebanyakkan pemerintah telah menyeleweng daripada konsep pemerintahan Islam sebenar.

Isi-isi penting

  1. a)Konsep khalifah
  • Istilah khalifah berasal daripada Bahasa Arab bermaksud pengganti Nabi Muhammad s.a.w. konsep khalifah merujuk kepada jawatan sebagai ketua islam bagi menggantikan kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w selepas kewafatan baginda.
  • Pelantikn khalifah mengikut syarat-syarat tertentu, iaitu seorang lelaki islam mempunyai istiqamah dalam akidah mengeluarkan pendapat, tidak cacat anggota yang boleh menghalang daripada menjalankan tugas serta mempunyai ilmu yang tinggi sama ada dalam bidang agama dan pentadbiran.
  • Ciri-ciri khalifah mestilah baik, warak, dan mahir dalam ilmu keagamaan dan pentadbiran.
  • Proses pelantikan khalifah mestilah melalui Majlis Syura seperti pelantikan Khalifah Abu Bakar al-Siddiq.
  1. b)Tanggungjawab khalifah
  1. Menurut Ibn Khaldun, tugas khalifah ialah “ menegakkan agama dan mentadbir dunia mengikut hokum syariah untuk kebaikkan dunia dan akhirat”.
  2. Seorang khalifah bertanggungjawab dalam megendalikan urusan pentadbiran negara dan juga melaksanak hokum-hukum agama dengan adil. Pelaksanaan hukuman tersebut pula mestilah mengikut hokum seperti yang telah terkandung di dalam al-Quran. Di samping itu, perkara-perkara yang berkaitan dengan perundangan seperti pelantikan hakim, saksi dan pelaksanaan hukuman mesti dikawal dengan betul.
  3. Khalifah juga bertanggungjawab menyebarkan ilmu kepada rakyat di samping menyediakan kemudahan awam untuk kebajikan rakyat seperti sekolah, masjid dan hospital. Selain itu, beliau juga perlu memastikan perpaduan dalam kalangan masyarakat adalah utuh.
  4. Khalifah juga bertanggungjawab menjaga keamanan dan keselamatan rakyat serta negara daripada ancaman musuh sama ada dari dalam mahu pun luar negara. Contohnya, ketika pemerintahan Khalifah Umar bin al-Khattab, beliau telah memperkemaskan pasukan tentera islam bagi melindungi keselamatan negara daripada ancaman kuasa asing, iaitu Byzantine dan Parsi.

Kesimpulan :

  • khalifah mempunyai tanggungjawab yang besar yang diamanahkan oleh rakyat terhadapnya. Oleh itu, seseorang khalifah yang hendak dipilih sepatutnya memiliki keupayaan dan kemampuan dalam pelbagai aspek terutamanya keagamaan dan kemahiran dalam mentadbir.
  • Pelantikan khalifah  tanpa berdasarkan kelayakan akan memusnahkan dan menghancurkan sesebuah kerajaan dan akan menyebabkan timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat jelata.

Soalan 22:  Bincangkan Kaedah Pemilihan Khalifah pada Zaman Pemerintahan Khulafa’ al-Rasyidin.

Pendahuluan

  • Khalifah ialah institusi yang bertanggungjawab dalam pengurusan pentadbira dan pemerintahan Negara dan umat Islam selepas wafatnya Nabi Muhammad s.a.w. Mahmood Mohd. Taib an-Najmi dalam Sejarah Tamadun Islam menyatakan, khalifah ialah satu jawatan menggantikan Nabi Muhammad s.a.w. selepas baginda wafat untuk memerintah dan mentadbir Negara dan umat Islam.
  • MahayudinHj. YahyadalamTamadun Islam menyatakan khalifah berasal daripada perkataan khulafa yang membawa maksud pengganti, iaitu pengganti Nabi Muhammad s.a.w. Khalifah ialah satu gelaran yang diberikan kepada sesiapa yang menjadi ketua (imam atau imamah) negara Islam menggantikan Nabi Muhammad s.a.w. dalam pengurusan pemerintahan dan pentadbiran.

Isi-isi penting

  1. Perundingan beramai-ramai
  • Cara ini dilakukan dengan mengadakan perundingan dan persetujuan tanpa ditetapkan calon terlebih dahulu. Sebelum Nabi Muhammad s.a.w. wafat, baginda tidak meninggalkan sebarang wasiat atau pesanan kepada sesiapa untuk  dicalonkan sebagai khalifah (pengganti). Untuk menentukan siapakah yang akan dilantik menjadi khalifah, umat Islam yang diwakili oleh kaum Muhajirin dan Ansar telah berhimpun di Dewan Bani Saadah untuk berbincang dan melantik khalifah pertama.
  • Untuk mengelakkan sebarang permasalahan dalam kalangan kamu Muhajirin dan Ansar, Saidina Abu Bakar al-Siddiq mencalonkan Saidina Umar al-Khattab mewakili golongan Muhajirin dan Abu Ubaidah mewakili Ansar untuk dipilih sebagai khalifah. Saidina Umar al-Khattab menarik diri daripada pencalonan dan diikuti oleh Abu Ubaidah.
  • Sebaliknya, Saidina Umar al-Khattab mencalonkan Saidina Abu Bakar al-Siddiq sebagai khalifah dan disokong oleh Abu Ubaidah. Cadangan tersebut disokong oleh umat Islam dan Saidina Abu Bakar al-Siddiq dibaiahkan dalam musyawarah/syura sebagai khalifah pertama memerintah Negara dan umat Islam menggantikan Nabi Muhammad s.a.w.
  1. Mengusul seseorang calon
  • Apabila seseorang khalifah baharu hendak dipilih, namanya diusul atau dicalonkan oleh khalifah sebelumnya terlebih dahulu sebelum musyawarah dalam majlis Syura dan dibaiahkan oleh umat Islam. Nama khalifah itu akan diputuskan dalam majlis Syura. Contohnya, pelantikan Khalifah Umar al-Khattab sebagai khalifah kedua dalam khulafa al- Rasyidin.
  • Semasa Khalifah Abu Bakar al-Siddiq tengah gering, umat Islam berusaha pulih daripada masalah kemunculan nabi-nabi palsu dan golongan murtad. Untuk mengelakkan masalah dalam negeri berlaku kembali, Khalifah Abu Bakar al-Siddiq mencalonkan Saidina Umar al-Khattab untuk dipilih sebagai khalifah menggantinya memerintah Negara dan umat Islam.
  • Pencalonan itu dipersetujui oleh para sahabat dan umat Islam. Setelah wafatnya Khalifah Abu Bakar al-Siddiq pada tahun 644Masihi, pencalonan Saidina Umar al-Khattab dibawa ke Majlis Syura. Melalui musyawarah, para sahabat dan ahli lembaga Majlis Syura, plantikan Saidina Umar al-Khattab dipersetujui oleh para sahabat dan menerima baiah daripada umat Islam tanpa bantahan.
  1. Mengusul sekumpulan calon
  • Khalifah terdahulu akan mengusulkan beberapa orang calon dalam kalangan para sahabat untuk dipilih salah seorang daripada mereka sebagai khalifah seterusnya. Cara ini berlaku dalam pemilihan Saidina Uthman bin Affan sebagai khalifah menggantikan Khalifah Umar al-Khattab. Khalifah Umar al-Khattab yang sedang tenat kerana ditikam oleh seorang keturunan hamba dari Parsi telah mengemukakan nama enam orang calon, iaitu Saidina Uthman bin Affan, Saidina Ali bin Abu Talib, Abdul Rahman bin Auf, Talhah bin Ubaidillah, Zuber al-Awwam, dan Saad bin Abu Waqas. Manakala puteranya, Abdullah bin Umar al-Khattab tidak dicalonkan sebagai khalifah. Pemilihan dan musyawarah diadakan di rumah Saidatina Aishah bin Abu Bakar al-Siddiq.
  • Tiga hari selepas wafatnya Khalifah Umar al-Khattab (644 Masihi), satu majlis diadakan untuk memilih pengganti khalifah. Musyawarah tersebut dipengerusikan oleh Abdul Rahman bin Auf yang menarik diri sebagai calon khalifah. Serentak dengan itu, Zuber al-Awwam, Saad bin Abu Waqas, dan Talhah bin Ubaidillah menarik diri daripada pencalonan jawatan khalifah.
  • Pemilihan diadakan antara Saidina Ali bin Abu Talib dan Saidina Uthman bin Affan. Dalam pemilihan tersebut, Saidina Uthman bin Affan mendapat kelebihan undi. Dengan ini, Saidina Uthman bin Affan dibaiahkan sebagai menggantikan Khalifah Umar al-Khattab sebagai khalifah ketiga dalam Khalifah al-Rasyidin memerintah negara dan umat Islam berpusat di Madinah (644-656 Masihi).
  1. Penyusulan oleh sekumpulan masyarakat
  • Masyarakat Islam telah mengusul dan mencadangkan keturunannya menjadi khalifah seterusnya memerintah negara dan umat Islam berpusat di Madinah. Cara tersebut berlaku semasa pelantikan Saidina Ali bin Abu Talib dilantik sebagai khalifah seterus memerintah Negara selepas kewafatan Khalifah Uthman bin Affan pada tahun 656 masihi. Apabila wafatnya Khalifah Uthman bin Affan berlaku pergolakan dalam kalangan umat Islam untuk menentukan siapakah khalifah yang akan menggantikannya.
  • Pada masa tersebut, Madinah dikuasai oleh pemberontak. Penduduk Mesir mencadangkan Saidina Ali bin Abu Talib dilantik sebagai khalifah, penduduk Basrah mencadangkan Talhah bin Ubaidillah sebagai khalifah, dan penduduk Kufah mencadangkan Zuber al-Awwam sebagai khalifah.
  • Oleh kerana terdapat tiga orang calon untuk jawatan khalifah, maka pemilihan dan musyawarah diadakan untuk menentukan siapakah antara tiga orang calon tersebut  yang akan dipilih oleh umat Islam sebagai khalifah berikutnya. Keputusan pemilihan dalam musyawarah tersebut, Saidina Ali bin Abu Talib dibaiahkan sebagai khalifah yang keempat.

Penutup

  • Pelantikan khalifah-khalifah dalam Khulafa al-Rasyidin berlaku secara demokrasi. Pemilihan dilakukan oleh umat Islam dalam majlis yang dikenali sebagai Majlis Syura yang ahli-ahlinya terdiri daripada para sahabat Nabi Muhammad s.a.w. dan ketua-ketua kaum.

Soalan 23: Huraikan Sumbangan (Kejayaan) Khalifah Abu Bakar as-Siddiq

Pendahuluan

  • Nama sebenar Abu Bakar al-siddiq ialah Abdullah bin Uthman. Beliau berasal daripada Bani Taim. Beliau dilahirkan di kota Makkah. Khalifah  Abu Bakar al-siddiq dilahirkan dua tahun setengah setelah keputeraan Nabi Muhammad SAW. Oleh itu, sejak awal lagi, mereka telah mempunyai hubungan yang akrab.
  • Selain itu, beliau juga merupakan seorang yang terkenal dengan sifat seperti pemurah, jujur dan baik hati.

Isi-isi penting:

  1. Meneruskan Gerakan Tentera
  • Sebelum Nabi Muhammad SAW wafat, baginda telah membentuk pasukan tentera yang     diketuai oleh Usamah bin Zaid ke sempadan Syam untuk menyerang Ghassan yang ketika itu berada dibawah jajahan Byzantine. Tindakan tersebut dilakukan kerana beberapa orang utusan Nabi Muhammad SAW telah dibunuh.
  • Selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, khalifah Abu Bakar al-siddiq berhasrat untuk menyambung semula usaha baginda. Walaubagaimanapun, cadangan tersebut kurang dipersetujui oleh sesetengah para sahabat. Mereka mencadangkan kepada Khalifah Abu Bakar al-siddiq supaya ekspedisi ketenteraan ke sempadan Syam ditangguhkan memandangkan ancaman al-Riddah yang lebih berbahaya dan memerlukan penyelesaian segera. Namun, Khalifah Abu Bakar al-siddiq tetap tegas dengan keputusan beliau.
  • Setelah berperang selama 40 hari, pasukan perang Usamah bin Zaid peroleh kemenangan. Kemenangan ini menyedarkan kaum yang berhasrat menyerang Madinah, tentera islam adalah kuat dan tidak mudah untuk dikalahkan. Setelah pasukan Usamah bin Zaid kembali ke kota Madinah, pasukan beliau ditugaskan menjaga keselamatan kota Madinah. Tindakan ini dapat menghindarkan kota Madinah daripada ancaman kaum Zubyan dan lain-lain.
  1. Menentang Gerakan al-Riddah
  • Khalifah Abu Bakar al-siddiq menyedari bahawa kewujudan golongan ini boleh menjadi anasir yang dapat menghancurkan kerajaan islam. Oleh itu, suatu tindakan yang bersungguh-sungguh perlu dilaksanakan bagi menangani masalah tersebut. Sebagai langkah awal untuk mengatasi ancaman tersebut, Khalifah Abu Bakar al-siddiq telah menghantar para utusan kepada ketua kumpulan-kumpulan tersebut mengajak mereka kembali kepada Islam.
  • Memandangkan golongan tersebut enggan kembali kepada islam, Khalifah Abu Bakar al-siddiq terpaksa mengambil tindakan ketenteraan bagi menghadapi kedegilan golongan tersebut. Sebanyak 11 buah pasukan tentera yang diketuai oleh panglima Islam yang terkenal seperti Khalid bin al-Walid, Ikramah bin Abi Jahal dan Amru bin al-‘ As telah dibentuk oleh beliau.
  • Pasukan tentera islam ini telah dihantar oleh Khalifah Abu Bakar al-siddiq ke luar kawasan Hijjaz bagi memerangi golongan penentang Islam tersebut. Akhirnya, gerakan tentera tersebut beroleh kemenangan apabila berjaya menundukan dan mengembalikan golongan al-Riddah kepangkuan islam.
  1. Penulisan al-Quran
  • Peperangan bagi memerangi golongan al-Riddah telah menyebabkan ramai para sahabat yang juga merupakan huffaz al-Quran terkorban. Keadaan ini menyebabkan timmbul kebimbangan dalam kalangan umat islam kemungkinan akan hapusnya al-Quran. Selain itu, mereka juga bimbang berlakunya penyelewengan al-Quran.
  • Ekoran keadaan tersebut, timbul cadangan daripada para sahabat supaya menubuhkan satu kumpulan khas bagi menulis al-Quran. Khalifah Abu Bakar al-siddiq menerima dengan baik cadangan tersebut. Zaid bin Thabit telah dipertanggungjawabkan oleh Khalifah Abu Bakar al-siddiq untuk mengetuai usaha mengumpul dan menulis semula naskhah dari simpanan para sahabat dan juga dari para huffaz. Naskhah al-Quran yang telah ditulis semula itu kemudiannya disimpan di rumah Khalifah Abu Bakar al-siddiq.
  1. Menentukan Bakal Khalifah
  • Khalifah Abu Bakar al-siddiq telah menamakan bakal pengganti beliau, iaitu Umar bin al-Khattab. Beliau telah mengadakan suatu perundingan dengan para sahabat tentang bakal pengganti beliau. Perkara ini berlaku ketika beliau sedang sakit. Dalam pertemuan tersebut, Khalifah Abu Bakar al-siddiq telah mengcadangkan supaya Umar bin al-Khattab dilantik menjadi Khalifah.
  • Cadangan beliau mendapat tentangan daripada para sahabat. Oleh itu, Khalifah Abu Bakar al-siddiq telah mengarahkan supaya Uthman bin Affan menulis keputusan tersebut. Dengan cara ini, Khalifah Abu Bakar al-siddiq telah berjaaya mengukuhkan kedudukan politik Islam.

Kesimpulan :

  • Khalifah Abu Bakar al-Siddiq telah membawa perubahan besar kepada tamadun Islam yang sampai ke hari ini dapat memberi manfaat kepada umat Islam iaitu al-Quran.
  • Kejayaan-kejayaan beliau merupakan kejayaan yang amat besar untuk dijadikan teladan oleh umat Islam.

Soalan 24: Bincangkan pembaharuan yang telah dilaksanakan oleh Umar bin Al-Khattab dalam bidang pentadbiran.

  1. Pendahuluan:
  • Umar al-Khattab dipilih menjadi khalifah setelah dicalonkan oleh Abu Bakar al-Siddiq dengan persetujuan para sahabat yang lain.   Antara ucapan dasar Umar semasa dilantik menjadi khalifah ialah beliau berjanji memimpin menurut perintah Allah dan Rasulnya seperti yang dilakukan oleh Khalifah Abu Bakar.
  • Khalifah Umar telah memerintah selama kira-kira 10 tahun iaitu antara 12-23 H/ (634-644 M).  Sepanjang pemerintahannya, beliau telah mengotakan janjinya dengan mengadakan pelbagai pembaharuan dalam bidang politik, ekonomi, sosial dan agama.
  1. Isi-isi penting:
  1. Memantapkan Majlis Syura
  • Majlis syura merupakan majlis perunding negara yang tertinggi yang terbahagi kepada dua iaitu Majlis Syura Tertinggi dan Majlis Syura Am.  Majlis ini dianggotai oleh enam tokoh Islam dan sahabat Nabi iaitu Uthman b. Affan, Ali b. Abi Talib, Sa’ad b. Waqqas, Abd Rahman b. Auf, Talhah dan al-Zubair.
  • Fungsi utamanya ialah bagi menentukan jawatan khalifah. Beliau membuka peluang dan kebebasan untuk bersuara dan mengemukakan pendapat di majlis ini
  1. Pembahagian Wilayah-wilayah Islam
  • Khalifah Umar telah menghadapi masalah kesan daripada kejayaan tentera Islam menakluki kawasan yang luas, meliputi dari sempadan negeri China di sebelah timur hingga ke Eropah di sebelah barat.   Untuk mengatasi masalah ini, Khalifah Umar membahagikan wilayah-wilayah Islam kepada beberapa bahagian bagi memudahkan pentadbirannya. Wilayah-wilayah itu ialah Kufah, Basrah, Syam, Jazirah (Mesopotamia), Mawsil, Yaman dan Bahrain.
  • Madinah menjadi pusat pemerintahan Islam
  1. Perlantikan pegawai
  • Setiap wilayah tersebut dilantik beberapa orang pegawai
  • Ia terdiri daripada seorang wali gabenor dan seorang setiausaha dengan dibantu oleh pegawai-pegawai tertentu di beberapa buah jabatan seperti Jabatan Setiausaha Tentera (Kitab al-Diwan), Jabatan Percukaian (Sahib al-Kharaj), Pegawai Polis (Sahib al-Syurtah), Pegawai Perbendaharaan Negara (Sahib Bait al-Mal) dan seorang kadi.
  1. Penyerahan surat perintah
  • Semua pegawai itu termasuk gabenor telah diberikan surat perintah oleh Khalifah Umar.  Surat perintah ini menyebutkan tugas-tugas dan kuasa mereka. Sebelum seseorang pegawai itu dihantar ke wilayah-wilayah berkenaan, rakyat terlebih dahulu diberitahu tentang kuasa dan tugas-tugas pegawai tersebut supaya tidak timbul kekeliruan semasa mereka menjalankan tugas.
  • Begitu juga apabila seseorang pegawai itu dilantik ia terlebih dahulu diperiksa harta benda dan juga peribadinya sebagai langkah ke arah mencegah berlakunya penyalahgunaan kuasa.  Apabila seorang pegawai berhenti kerja segala hartanya dihitung sekali lagi. Jika terdapat hartanya berlebihan dan terbukti harta itu didapatinya dengan cara melanggar peraturan negara, maka harta itu akan diambil dan diserahkan kepada perbendaharaan Negara (Baitul-Mal).
  1. Laporan setiap tahun
  • Setiap tahun pada musim haji pegawai-pegawai kerajaan diminta hadir ke tanah suci Makkah untuk memberikan laporan tentang sebarang perkara berhubung dengan pentadbiran wilayah.
  • Disamping itu, rakyat jelata yang mengerjakan ibadat haji diberikan hak untuk menyuarakan sebarang kezaliman yang dilakukan oleh pegawai-pegawai berkenaan.   Khalifah Umar tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas mereka.
  1. Memantapkan Penubuhan Baitul Mal
  • Khalifah Umar merupakan orang yang pertama menubuhkan institusi Baitul Mal atau Perbendaharaan Negara, iaitu tempat semua harta kerajaan disimpan.  Sebuah buku kira-kira negara disediakan untuk mengetahui wang keluar masuk dari segi pendapatan dan perbelanjaan negara.
  • Sumber-sumber kewangan negara berpunca daripada pendapatan bayaran zakat, ghanimah (harta rampasan perang), fay (harta rampasan tanpa perang), jizyah (cukai perlindungan), kharaj (cukai tanah), usyur (cukai perniagaan) dan harta peninggalan orang mati yang tidak mempunyai waris.
  1. Memantapkan Pentadbiran tanah
  • Pentadbiran tanah yang teratur dan sistematik juga telah diperkenalkan oleh Khalifah Umar. Tanah-tanah yang dikuasai oleh tentera Islam telah dibahagikan kepada dua jenis;  Pertama, tanah dhimmah iaitu tanah yang bertuan.  Tanah Dhimmah ditadbir oleh pemilik-pemilik asal.
  • Kedua, tanah sawafi ditadbir oleh pemegang-pemegang amanah yang dilantik daripada golongan Ahl al-Ayyam iaitu golongan peneroka (Ahl al-Fay). Tanah-tanah ini tidak boleh dibeli atau dimiliki oleh sesiapa bagi mengelakkan berlakunya perpecahan di kalangan umat Islam.
  1. Penubuhan Dewan Tentera
  • Tentera terbahagi kepada dua iaitu tentera tetap dan simpanan. Tentera tetap diberi gaji dan pakaian seragam serta keluarga mereka turut diberi bantuan  Khalifah pertama yang memberi gaji kepada tentera. Muhajirin dan Ansar menerima sebanyak 3000 – 5000 dirham setahun. Ahl al-Ayyam menerima sebanyak 3000 dirham setahun
  • Peserta-peserta dalam Perangan Yarmuk dan Qadisyah menerima Sebanyak 2000 dirham setahun. Pendatang-pendatang baru (Rawalif) yang tiba selepas Perang Yarmuk dan Qadisyah menerima antara 1500 – 2000 dirham setahun.
  1. Pembinaan bandar tentera
  • Bandar-bandar tentera telah dibina seperti Kufah, Basrah, Damsyik dan Fustat.  Bandar-bandar ini dijadikan pusat tentera dan didirikan khemah-khemah tentera.
  • Tujuannya untuk kemudahan tentera Islam apabila selesai menjalankan ekspedisi dan untuk mengawal sempadan-sempadan wilayah yang sudah ditakluki dan bandar-bandar tersebut.
  1. Pembaharuan Bidang Kehakiman
  • Beliau mengetatkan syarat-syarat untuk menjadi seorang hakim. Gaji hakim dinaikkan bagi mengelakkan terjadinya rasuah. Hakim/Kadi tidak dibenarkan terlibat dalam kegiatan perniagaan/ membeli belah seperti orang ramai di pasar pasar
  • Mahkamah keadilan diwujudkan dan ia dipisahkan daripada jabatan-jabatan lain.
  1. Memperkenalkan takwim Islam
  • Khalifah Umar memperkenalkan takwim Islam berdasarkan tahun Hijrah iaitu bermula pada 1 Muharram.
  • Penubuhan takwim Islam ini dibuat pada tahun 17H. Tujuannya bagi memudahkan urusan pentadbiran negara.

Kesimpulan  

  • Khalifah Umar al-Khattab banyak memberikan sumbangan kepada usaha meninggikan martabat Islam. Ia tidak terhad kepada perluasan jajahan sahaja, malahan pembaharuan dan pembangunan meliputi semua aspek agama, politik, ekonomi dan sosial.
  • Kejayaan ini adalah hasil kecekapan dan kebijaksanaannya di samping kestabilan dan keamanan yang diwarisi dari Khalifah Abu Bakar.  Kemajuan dan keamanan semasa pemerintahan Khalifah Umar ini selanjutnya

Soalan 25: Huraikan dasar pemerintahan Khalifah Umar Bin Abdul Aziz.

Pendahuluan

  • Umar bin Abdul Aziz bin Marwan bin Al-Hakam bin Al-‘As bin Umayyah dilahirkan di Bandar Hulwan ,Mesir pada tahun 63 Hijrah (683 Masihi). Bapanya, Abdul Aziz bin Marwan merupakan gabenor di Mesir.Manakala ibunya, Ummu ‘Asim binti Umar bin Al-Khattab Ialah anak kepada khlifah Islam yang kedua, iaitu sayyidina Umar al-Khattab.
  • Beliau berketurunan Bani Umayyah dan menjadi pemerintah Bani Umayyah yang kelapan sesudah pemerintahan Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik. Umar bin Abdul Aziz telah menghafal al-Quran sejak kecil  lagi. Kemudian, Beliau telah dihantar ke Madinah oleh bapanya dengan tujuan dapat dibesarkan dengan persekitaran yang baik dan dapat mendalami ilmu semasa di sana. Di Madinah, beliau mendalami ilmu fiqah,periwatan hadis, mempelajari ilmu tafsir,dan ilmu islam yang lain termasuk Bahasa, kesusasteraan dan kesenian.

Isi-isi Penting:

  1. Mengarahkan kegiatan peperangan dan penaklukan di hentikan.
  • Tentera-tentera yang sedang berperang di Kota Constantinople diarahkan pulang. Tentera yang berada di kawasan bekas jajahan Byzantine di arahkan pulang.
  • Dasar penarikan tentera dari medan peperangan serta penaklukan ini amat berbeza dengan khalifah umayyah sebelumnya. Hal ini juga memberi peluang untuk tentera kerajaan berehat dan pulang ke pangkuan keluarga mereka.
  1. Menggalakkan perkahwinan antara orang arab dengan bukan arab.
  • untuk memastikan masyarakat berada dalam keadaan aman dan stabil. Untuk mengelakkan permusuhan yang pernah berlaku semasa berlaku dasar perkauman kerajaan umayyah.
  • Ini kerana sebelum ini kedua-dua golongan sering bermusuhan akibat daripada dasar perkauman kerajaan Umayyah.
  1. Memperkenalkan dasar ekonomi baharu.
  • melalui cukai tanah(khazraj). tanah yang diperoleh melalui penaklukan akan menjadi hak milik bersama orang islam. Hasil tanamannya akan dikenakan cukai oleh kerajaan. Membezakan antara cukai jizyah dengan khazraj. Mengubah cara pembayaran cukai dengan hanya mengenakan cukai jizyah kepada orang bukan islam sahaja manakala khazraj dikenakan kepada sesiapa yang memiliki tanah.
  • Semasa pemerintahan Khalifah Umar, cukai jizyah hanya di kenakan ke atas orang bukan islam manakala khazraj dikenakan kepada sesiapa yang memiliki tanah. Memansuhkan semua jenis perayaan,upacara rasmi, hadiah serta perbelanjaan lain yang membazir. Cara ekonomi baharu ini menjadikan kedudukan Negara semakin kukuh.
  1. Memansuhkan jizyah ke atas orang Islam bukan arab
  • walaupun di tentang oleh beberapa gabenornya namun baginda tetap meneruska usaha tersebut. Baginda bertujuan untuk menegakkan syiar islam dan mewujudkan sistem sosial yang adil dan saksama. Ditentang oleh beberapa gabenornya . Siasah ini membuahkan hasil kerana banyak daripada golongan Zimmi yang memeluk islam.
  • Pendapatan Negara daripada kutipan jizyah didapati semakin menurun tetapi mereka tetap di kenakan zakat. Teknik ini untuk menarik mereka memeluk islam dan kewangan islam tetap tidak tergugat dengan penghapusan jizyah ini.
  1. Menentang kezaliman dan penindasan
  • Tidak bertolak ansur apabila melibatkan penindasan kezaliman serta menjalankan dasar persamaan dalam menikmati kemakmuran Negara. Ketegasan beliau dapat dilihat melalui tindakan drastik apabila beliau memecat gabenor serta para pegawai kerana didapati menyeleweng dan melakukan kezaliman.
  • Antara amalan buruk yang cuba di hapuskan oleh Khalifah Umar dalam pemerintahannya iaitu: rasuah di jabatan kerajaan, menggunakan wang Negara sewenang-wenangnya, terpesona dengan keseronokan dunia, kezaliman dan penindasan terhadap rakyat oleh sesetengah pegawai kerajaan.
  1. Langkah berbaik-baik terhadap musuh Kerajaan Umaiyah.
  • Berbaik dengan musuh dari dalam dan luar Negara termasuk kaum khawarij. Untuk memperoleh toleransi semasa pemerintahan baginda. Hal ini dilakukan menerusi dialog atau perbahasan.
  • Kaum khawarij yang cuba menetang baginda adalah dari suku yashkur yang di piumpin oleh Saudhab. Hujah dan dalil yang kukuh di kemukakan oleh baginda telah menyebabkan kaum khawarij berasa insaf dan sedar lalu memberhentikan rancangan penentangan mereka.

 Penutup

  • Khalifah Umar telah meninggal dunia pada bulan Rejab , tahun 101 hijraf/Februari 720 Masihi. Tempoh pemerintahannya adalah selama kira-kira dua tahun setengah. Walaupun pemerintahannya tidak lama, beliau di anggap setaraf dengan Khulafa AR Rasyidin yang empat.
  • Makamnya di hormati oleh semua pihak termasuklah Khulafa’ Bani Abbas yang membongkar kubur seluruh  Khalifah Bani umayyah melainkan Khalifah Umar bin Abdul Aziz.

Soalan 26: Huraikan dasar pemerintahan Khalifah Harun Al-Rasyid

Pendahuluan

  • Nama sebenar Khalifah Harun al-Rasyid ialah Harun al-Rasyid bin Muhammad al-Mahadi Bin Abu Jaafar al-Mansur. Beliau merupakan khalifah kelima dalam pemerintahan Bani Abbasiyah.Beliau telah dilahirkan di al-Raj,Khurasan pada Zulhijah 145 H.Beliau merupakan seorang yang berpendidikan tinggi dan memiliki sifat keperibadian yang tinggi.
  • Khalifah Harun al-Rasyid mempunyai pengalaman yang luas dalan aspek pentadbiran, kemasyarakatan dan politik. Beliau terkenal sebagai seorang pemerintah yang bijaksana,ahli falsafah dan cendekiawan islam. Setelah Khalifah Muhammad al-Mahadi bin Abu Jaafar al-Mansur wafat,jawatan khalifah telah diganti oleh puteranya,Musa bin Muhammad(al-Hadi). Terdapat beberapa sumbangan beliau, antaranya ialah :-

Isi-Isi Penting:

  1. Sumbangan dalam aspek Pendidikan
  • Khalifah harun ar-Rasyid dikenali sebagai tokoh negarawan terulung kerana usaha beliau dalam penyebaran ilmu pengetahuan.  Oleh kerana itulah, beliau membuka Baitul Hikmah iaitu institusi kebudayaan dan pusat kegiatan ilmu pengetahuan.  Seseorang khalifah sememangnya seorang yang bijak dan berpengetahuan.  Dalam mentadbir sesebuah negara, beliau harus tahu bagaimana caranya untuk mentadbir sebuah negara agar dapat menjadi sebuah negara yang aman dan makmur.
  • Disamping itu juga, seseorang khalifah harus tahu untuk membangunkan dan memajukan negara agar menjadi sebuah negara yang maju dalam pelbagai bidang sama ada ekonomi, politik mahupun sosial.  Ilmu pengetahuan sangat penting yang seharusnya ada dalam diri seorang khalifah.   Beliau juga mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam mentadbir Kota Baghdad selama 23 tahun.
  1. Sumbangan dalam aspek Pentadbiran
  • Keberanian seseorang khalifah juga amat penting untuk mentadbir sesebuah negara agar menjadi sebuah negara yang aman.  Tanpa ilmu pengetahuan yang cukup, sseorang khalifah tidak akan mampu membawa tentera-tenteranya dalam memerangi musuh untuk mendapatkan keamanan dan kemakmuran.  Khalifah Harun ar-Rasyid sendiri begitu cekap dalam menguruskan pentadbiran negara.
  • Beliau telah dapat  membanteras segala kekacauan dan pemberontakan di dalam negaranya dengan pelbagai rintangan dan dugaan.  Akhirnya, beliau telah berjaya dalam peperaangan tersebut kerana usaha yang dilakukan berhasil antara usaha beliau ialah dengan menyusun semula pasukan tenteranya  agar menjadi sebuah pasukan tentera yang berdisiplin dan teratur.  Beliau begitu mengambil berat terhadap kredibiliti tentera-tenteranya dan juga memberi perlindungan serta keselamatan untuk kesejahteraan rakyatnya.
  1. Kemajuan Dalam Intelektual
  • Kemajuan intelektual yang dicapai oleh Khalifah Harun ar-Rasyid juga adalah salah satu sumbangan yang besar diberikan oleh baginda.  Terdapat buku-buku yang berupa terjemahan ilmu dari luar ataupun disusun oleh intelektual Islam tergolong dalam kemajuan intelektual.
  • Beliau dianggap sebagai penaung bagi semua kegiatan ilmu pengetahuan kerana beliau sering kali menganjurkan majlis forum, syarahan dan perbahasan, yang mana akan dihadiri oleh orang ramai dan golongan intelektual di masjid.  Pada majlis seperti inilah, beliau dapat mengenali lebih ramai ilmuan yang datang untuk menuntut ilmu daripadanya.  Sebagai seorang khalifah, beliau seharusnya mampu melaksanakan kewajipan dalam menyebarkan ilmu pengetahuan kepada semua masyarakat dalam negaranya.
  1. Kemajuan dalam Ekonomi
  • Pertumbuhan ekonomi yang pesat juga telah banyak dibuat oleh Khalifah Harun ar-Rasyid.  Malah, beliau sendiri telah menjadi simbol kemegahan Islam di Timur dan Barat.  Terdapat banyak kota seperti Baghdad, Basrah, Masyul, Damsyik dan Aleppo muncul sebagai kota yang terkenal.  Banyak perubahan yang dilakukan oleh beliau dalam membangunkan ekonomi dengan melakukan aktiviti perdagangan, perniagaan dan membawa pedagang-pedagang asing untuk berniaga di Kota Baghdad.
  • Disebabkan usaha inilah, ramai pedagang-pedagang asing yang datang membawa barangan mereka untuk diniagakan di Kota Baghdad.  Bahkan, bukan sahaja pedagang-pedagang asing yang datang berniaga, penduduk di Kota Bahgdad sendiri melakukan aktiviti perniagaan sesama mereka.
  1. Hubungan Diplomatik
  • Beliau juga mengadakan hubungan yang baik dengan kuasa-kuasa asing, antaranya kerajaan Byzantium, Peranchis dan keluarga al-Barmaki.  Perhubungan ini bertujuan untuk pendamaian antara kedua-dua belah pihak melalui pembayaran ufti antara Kota Bahgdad dengan kerajaan Byzantium.  Hubungan yang baik dengan Kristian-Peranchis adalah kerana mereka sama-sama mempunyai musuh yang sama iaitu kerajaan Bani Umayyah.  Kedua-dua buah kerajaan ini sentiasa bertukar duta dan kemudiannya diikuti oleh pemimpin mereka iaitu Khalifah Harun ar-Rasyid sendiri dan Charlemange.
  • Malah, kerajaan Peranchis begitu menghormati dan meniru dasar pentadbiran kerajaan  Abbasiyah bertujuan untuk kebaikan negara mereka sendiri.   Manakala keluarga al-Barmaki pula sangat terpengaruh dalam pentadbiran mereka. Mereka memegang banyak jawatan yang penting seperti wazir hinggalah kepada gabenor daerah.  Disebabkan itu, hubungan antara kerajaan Abbasiyah tidak begitu baik dengan keluarga al-Barmaki.
  1. Penubuhan Baitul Hikmah
  • Satu lagi sumbangan Khalifah ar-Rasyid yang sangat besar kepada kerajaan Abbasiyah ialah dengan tertubuhnya Baitul Hikmah. Sikap prihatin beliau dalam bidang ilmu pengetahuan mendorong beliau untuk menubuhkan institusi itu sebagai satu tempat penyebaran ilmu pengetahuan.  Semua kegiatan keilmuan ini merupakan satu usaha yang cemerlang dilakukan oleh beliau ketika mentadbir kerajaan Abbasiyah.
  • Baitul Hikmah ini juga menggabungkan pelbagai fungsi antaranya ialah sebagai tempat penyimpanan buku-buku, pengumpulan buku, perpustakaan, pusat akademik dan balai penterjemahan.  Ia juga merupakan lambang pendidikan yang terpenting dan telah dapat menandingi kemasyhuran Perpustakaan Iskandariah.  Kerana tanggungjawab beliau sebagai seorang khalifah, beliau begitu gigih dalam memperkembangkan ilmu pengetahuan

Kesimpulan

  • Terdapat banyak seumbangan yang telah dilakukan oleh Khalifah yang merangkumi aspek politik, ekonomi dan sosial. Sumbangan khalifah adalah amat penting dalam perkembangan intelektual Islam sehingga hari ini.

Soalan 27: Huraikan kejayaan-kejayaan yang dicapai oleh Khalifah Harun al-Rasyid sepanjang pemerintahannya.

Pendahuluan

  • Kerajaan Abbasiyah ditubuhkan melalui revolusi yang dilancarkan terhadap pemerintahan Kerajaan Umayyah pada tahun 750 M dan bertahan  sehingga tahun 1258 M. Sepanjang pemerintahan kerajaan ini, terdapat beberapa orang pemerintah yang terkenal seperti Khalifah Harun al-Rasyid. Baginda merupakan khalifah yang keempat selepas Khalifah al-Mahdi . Sebelum menaiki takhta , baginda memegang jawatan Gabenor sehinggalah dilantik sebagai Putera Mahkota pada tahun 782M.
  • Beliau seorang yang bijaksana, berilmu  dan cekap dalam siasah telah membolehkan kerajaan Abbasiyah semasa pemerintahan baginda menuju era kegemilangan

Isi-isi

  1. Khalifah Harun al-Rasyid telah menjalin hubungan dengan negara-negara lain Byzantine, Perancis dan Andalusia bagi meluaskan syiar Islam dan mengukuhkan kerajaan Abbasiyah. Hubungan  antara kerajaan tersebut dengan Perancis dijalin kerana Perancis juga bermusuhan dengan kerajaan Umayyah di Andalus. Hubungan Khlkifah Harun al-Rasyid dengan Charlemenge amat erat, malah sering bertukar cenderahati . Khalifah Harun al-Rasyid juga Berjaya memaksa Byzantine menbuat perdamaian dengan kerajaan Abbasiyah berikutan tindakan tentera tersebut yang menyerang wilah Islam di Asia Minor. Melalui perjanjian tersebut, Byzantine bersedia membayar 90 ribu dirham kepada Khalifah Harun al-Rasyid dan membenarkan Islam dikembangkan di Byzantine. Keengganan Nicephorus menepati perjanjian awal yang dimeterai menyebabkan Khalifah Harun al_Rasyid tentera menuju ke Asia Minor. Baginda Berjaya menawan beberpa wilayah Heracelan, Tyans, Iconium dan Emphesus sehingga memaksa Nicephorus tunduk semula serta sanggup membayar ufti kepada kerajaan Islam
  1. Khalifah Harun al-Rasyid telah menghadkan serta menghapuskan pengaruh keluarga Barmaki yang semakin kukuh. Antara tindakan yang dilakukan ialah mengahwini Puteri Jaafar bin Yahya al-Barmaki, diikuti membunuh tokoh-tokoh yang berbahaya  seperti Yahya al-Baraki.Tindkan tersebut menghilangkan pengaruh keluaga Barmaki dalam kerjaan baginda. Bagind ajuga telah menghantar Ibrahim bin Aghlabiah untuk menghapuskan pemberontakan di Nosol, Armenia dan Afrika Selatan
  1. Khalifah Harun al-Rasyid juga menyusun semula angkatan tentera dan membuat kawalan rapi di lautan dan di pelabuhan bagi menjamin keselamatan kapal-kapal asing yang berlabuh di Basrah, sekali gus dapat memastikan kestabilan politik dalam negeri
  1. Dalam bidang ekonomi, Khalifah harun al-Rasyid menekankan soal kemajuan dalam bidang pertanian dan perdagangan. baginda menggalakkan pembukaan tanah-tanah baru serta memberikan bekalan bijih benih secara percuma kepada petani. Baginda juga membahagikan tanah-tanah kerajaan dan rampsan perang kepada tentera dan golongan miskin untuk diusahakan. Khalifah harun al-Rasyid juga memajukan Baghdad sebagai pusat perdagangan dengan meluaskan hubungannya dengan ke Eropah, China dan India serta membina jalan-jalan dari Iraq ke Laut Merah, laut Meditersanean, Tunisia dan maghribi
  1. Khalifah Harun al-rasyid juga mencintai ilmu pengetahuan sebagai bukti, baginda menggalakkan kedatangan para sarjana ke Baghdad bagi mengadakan seminar, pidato dan majlis-majlis ilmu yang berkaitan.Pusat-pusat pengajian telah didirikan seperti sekolah, masjid dan maktab.Buku-buku asing juga turut diterjemah ke dalam bahasa Arab. Sehubungan dengan itu baginda telah membina Baitul hikmah untuk menempatkan buku-buku berkaitan ilmu astronomi, perubatan, falsafah, sejarah dan geografi. Bandar-bandar Islam seoperti Madinah, Kufah dan Kaherah telah dijadikan pusat keilmuan. Pada zaman ini muncul beberapa cendekiawan terkenal seperti Imam Muhammad ,Al-hajaj bin Matar, Yuhanna bin Musawaih dan Suffian al-Thauri . Perkembangan intelektual pada zaman Khalifah Harun al-Rasyid amnya dapat dibahagikan kepada tiga tahap iaitu kegiatan pembukuan  penyusunan ilmu pengetahuan agar tidak menyimpang daripada syariat Islam dan kegiatan penterjemahan

Kesimpulan

  • Zaman pemerintahan Khalifah Harun al-Rasyid dianggap sebagai zaman kegemilangan Kerajaan Abbasiyah kerana baginda bukan sahaja berjaya menghapuskan atau memadamkan apa jua bentuk penentangan tetapi yang paling penting mampu mewujudkan sebuah negara yang makmur dengan ekonomi yang teguh.

 

Kerdit Sumber Nota Blog Sejarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *