Contoh Karangan Langkah Menjadi Pelajar Cemerlang

Kongsikan Sekarang

Contoh Karangan Langkah Menjadi Pelajar Cemerlang

 

Tidak dapat dinafikan bahawa setiap pelajar pasti mempunyai keinginan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Kecemerlangan ini hanya akan dapat dicapai sekiranya pelajar-pelajar berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Kecemerlangan dalam peperiksaan bukanlah sesuatu yang sangat sukar untuk dicapai sekiranya pelajar itu sendiri mempunyai iltizam dan keazaman yang tinggi  untuk mencapainya. Namun begitu, dalam menelusuri arus globalisasi yang pantas bergerak bagai belut diketil ekor ini masih terdapat segelintir pelajar yang masih tidak menitikberatkan kecemerlangan akademik lantaran masih dibuai lena oleh budaya hedonisme. Mereka ini lebih mementingkan keseronokan dan hiburan daripada pendidikan. Pelajar-pelajar  tidak sepatutnya menganggap perkara ini sesuatu yang remeh atau mudah kerana keputusan peperiksaan mampu menjamin masa hadapan seseorang pelajar yang lebih cerah. Oleh itu, pelajar-pelajar janganlah menyesal pada masa hadapan disebabkan tidak dapat memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan jika asyik mengabaikan pelajaran, bak kata orang tua-tua, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang patut dilakukan untuk mencapai kecemerlangan seseorang pelajar?

Langkah perdana yang perlu dilakukan oleh seseorang pelajar yang sentiasa mendambakan kecemerlangan ialah dia haruslah mempunyai sahsiah dan peribadi yang unggul. Seorang pelajar yang mempunyai peribadi yang unggul akan sentiasa menjaga hubungan baik sesama manusia tidak kiralah ketika bersama keluarga, guru mahupun rakan-rakan. Mereka haruslah bercakap dengan menggunakan bahasa yang  sopan santun bagaikan butir-butir mutiara yang berharga. Sebagai contoh, seseorang pelajar itu perlu sentiasa menghormati dan menyayangi guru mereka. Mereka juga perlu sentiasa berlapang dada untuk membantu rakan-rakan dalam pelajaran. Hal ini kerana bantuan yang diberikan dapat mengukuhkan pemahaman mereka atas penerangan yang diberikan. Sifat sombong dan angkuh tidak pernah wujud dalam kamus hidup seorang pelajar yang ingin cemerlang. Mereka sentiasa mengamalkan sikap bermurah hati dan tidak pilih kasih dalam pergaulan dengan membeza-bezakan bangsa, agama dan prestasi akademik kerana menyedari bahawa setiap manusia adalah sama di sisi Tuhan. Sahsiah dan peribadi pelajar yang cemerlang yang unggul disenangi oleh orang di sekelilingnya kerana mereka tetap bergaul mesra kerana tidak bersikap seperti kera sumbang. Oleh itu, jelaslah bahawa kecemerlangan dapat dicapai melalui sahsiah dan peribadi yang unggul.

Langkah yang seterusnya ialah pelajar haruslah sentiasa mengikut ajaran agama. Setiap agama di dunia ini menganjurkan manusia melakukan kebaikan tidak kiralah agama Islam, Kristian, Hindu mahupun Buddha. Mereka perlu menjadikan agama sebagai panduan hidup. Agama menjadi landasan yang paling ampuh dalam membentuk diri pelajar yang cemerlang seperti kata seorang cendekiawan, permulaan hidup seseorang manusia adalah mengenal Tuhan dan agamanya.  Mereka seharusnya mempunyai nawaitu yang suci dalam setiap tindakan yang dilakukan oleh mereka. Sebagai contoh, seorang pelajar Islam yang ingin cemerlang perlu menunaikan tanggungjawabnya terhadap Allah iaitu dengan menunaikan solat serta sentiasa berdoa untuk mencapai kejayaan. Menurut Albert Einstein, “Agama tanpa ilmu ada buta, ilmu tanpa agama adalah lumpuh.” Izharlah bahawa agama menjadi pegangan pelajar yang cemerlang agar mereka tidak terpesong daripada matlamat sebenar hidup di dunia ini serta seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial (JERIS).

Jika ditinjau dari dimensi yang lain, kecemerlangan seseorang pelajar dapat dicapai jika pelajar itu sentiasa mengisi masa lapang dengan bijak. Setiap pelajar haruslah menyedari hakikat bahawa masa itu emas dan tidak mensia-siakan setiap saat yang dimilikinya. Mereka perlu sentiasa mengisi masa terluang dengan melakukan pelbagai aktiviti yang berfaedah seperti membaca buku, mengulang kaji pelajaran, dan beriadah. Mereka juga menyediakan jadual aktiviti harian yang fleksibel agar aktiviti yang dilakukan seimbang daripada aspek jasmani dan rohani. Penyediaan jadual aktiviti harian amat penting bagi memastikan pelajar tidak hanya menghabiskan masa selama 24 jam di meja belajar sahaja. Pelajar yang ingin cemerlang juga sentiasa berusaha menambah ilmu pengetahuan mereka dengan membaca buku sekiranya mempunyai masa yang terluang. Hal ini kerana mereka menyedari melalui pembacaan, mereka akan dapat meluaskan horizon pemikiran mereka dan seterusnya menjadikan diri mereka seorang pelajar yang cemerlang bak kata slogan, membaca jambatan ilmu. Mereka juga perlu menyiapkan setiap tugasan yang diberi dan tidak menangguhkannya. Bagi mereka, bertangguh itu pencuri masa. Mereka juga tidak akan mengamalkan sikap seperti pahat dengan penukul dalam proses menuntut ilmu. Secara tidak langsung, pengisian masa yang bijak dapat mengekang mereka daripada terjebak dalam kebejatan sosial yang kian menghambat golongan pelajar kita seperti vandalisme, gengsterime, melepak dan sebagainya. Pelajar yang berdisiplin dalam pengisian masa dengan aktiviti yang berfaedah juga dapat dilahirkan. Jadi, jelaslah kepada kita semua bahawa pengisian masa yang bijak dapat membantu seseorang pelajar untuk mencapai kecemerlangan yang diimpikan

Di samping itu, seseorang pelajar juga perlulah sentiasa memberikan tumpuan ketika guru sedang mengajar. Hal ini kerana perhatian dan tumpuan yang diberikan menjadi salah satu medium pembentukan pelajar yang cemerlang di samping meningkatkan pemahaman mengenai subjek yang dipelajari. Seorang pakar psikologi pernah mengatakan bahawa lima puluh peratus kejayaan pelajar-pelajar disebabkan faktor memberikan sepenuh tumpuan ketika proses pengajaran dan pembelajaran sedang dijalankan. Sebagai contoh, seseorang pelajar haruslah memberikan sepenuh perhatian dan fokus ketika proses pengajaran dan pembelajaran sedang dijalankan. Mereka harus menghargai setiap detik waktu dalam proses tersebut kerana masa itu ibarat pedang, jika kita tidak memotongnya, maka ia akan memotong kita. Tumpuan dan perhatian pelajar di dalam kelas bukan sahaja menjadi salah satu ciri kecemerlangan pelajar malahan juga dapat meningkatkan ilmu pengetahuan mereka dalam sesuatu subjek yang dipelajari. Tambahan lagi, sekiranya mereka menerapkan ciri yang berikut dalam diri mereka, mereka akan disenangi oleh para guru. Para guru akan berasa senang hati ketika mengajar seterusnya memberi keberkatan kepada pelajar tersebut untuk memperoleh kejayaan dalam pelajaran, peperiksaan bahkan dalam kerjaya mereka pada masa akan datang. Ringkasnya, pemberian tumpuan semasa guru sedang mengajar di dalam kelas turut mendorong kecemerlangan pelajar dalam bidang akademik.

Bukan itu sahaja, kecemerlangan juga dapat dicapai dengan menetapkan wawasan hidup. Hal ini kerana wawasan hidup diperlukan supaya mereka sentiasa dapat mencapai segala cita-cita dalam hidup mereka. Wawasan hidup merupakan ciri dominan pada diri pelajar cemerlang kerana apabila mereka berwawasan, mereka sentiasa berusaha gigih kerana yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Sebagai contoh, mereka yang cemerlang sentiasa mempunyai sasaran dalam peperiksaan dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Selain itu, wawasan hidup mampu mengajar mereka erti berdisiplin dan bertanggungjawab dalam hidup berikutan mereka akan lebih teliti dan kreatif dalam menyusun masa belajar dan melakukan aktiviti seharian. Pelajar yang mempunyai wawasan juga lebih mengetahui hala tuju kehidupan serta tidak mudah berputus asa dalam kehidupan mereka. Walaupun mereka mungkin menemui kegagalan dalam sesuatu perkara, mereka tidak akan mudah bersedih malahan menjadikan kegagalan tersebut sebagai batu loncatan untuk berusaha dengan lebih gigih pada masa hadapan. Wawasan hidup juga mampu menjauhkan diri daripada sifat menangguhkan kerja dalam kalangan pelajar cemerlang. Setiap pekerjaan haruslah dilakukan hingga selesai, bak kata peribahasa, alang-alang menyeluk perkasam, biar sampai ke pangkal lengan. Sifat negatif tersebut tidak akan lagi menjadi penghalang kepada diri mereka dalam menempa kejayaan hidup. Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa pelajar yang berwawasan merupakan pelajar yang cemerlang.

 

Seperkara lagi, untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang, setiap pelajar hendaklah sentiasa aktif melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum. Hal ini kerana melalui aktiviti kokurikulum di sekolah, bakat dan kebolehan para pelajar akan terserlah dan dapat terus digilap untuk mencapai kejayaan. Pelajar cemerlang tidak rela dicop atau dilabel sebagai ulat buku semata-mata. Mereka juga menunjukkan pencapaian yang tinggi dalam bidang kokurikulum. Sebenarnya bidang kokurikulum ialah pelengkap kepada aktiviti kurikulum di bilik darjah. Aktiviti kokurikulum ialah wahana bagi aplikasi pengetahuan dan kemahiran kurikulum. Oleh itu, para pelajar haruslah menyertai sebarang pertandingan bagi mengenal pasti potensi diri sama ada melalui unit beruniform mahupun akademik. Para pelajar boleh melibatkan diri dalam sebarang aktiviti yang diadakan oleh unit beruniform, serta kelab dan persatuan seperti berkawad dan berkhemah. Dengan menyertai pertandingan yang dapat menguji minda serta pemikiran mereka seperti pertandingan perbahasan, forum dan catur, minda pelajar akan menjadi cemerlang lalu dapat menjana idea yang kreatif dan kritis. Dalam konteks ini, para pelajar bukan sahaja dapat menyihatkan tubuh badan mereka malah turut dapat mencerdaskan otak mereka kerana otak yang cerdas lahir daripada badan yang cergas. Tegasnya, setiap pelajar perlu bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang dan seimbang.

Bulan semakin terang, bayang kian jelas bahawa terdapat beberapa langkah yang dapat diimplementasikan oleh seseorang pelajar untuk mencapai kecemerlangan dalam apa-apa jua lapangan yang diceburi. Kecemerlangan seseorang pelajar dapat menjamin masa depan seseorang pelajar yang lebih cerah. Pelajar cemerlang memiliki sejumlah kualiti diri yang tinggi dari segi akademik, kokurikulum, disiplin dan sahsiah. Mereka menepati ciri-ciri modal insan minda kelas pertama yang disebut sebagai hala tuju pendidikan negara. Oleh itu, para pelajar haruslah fokus akan matlamat hidup mereka untuk menjadi insan yang syumul dengan melakukan beberapa pendekatan yang telah dibincangkan. Namun begitu, sekiranya kita meletakkan usaha ini atas bahu pelajar sahaja tidak mencukupi kerana bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Jadi, semua pihak terutamanya ibu bapa, guru dan Kementerian Pendidikan haruslah menggembleng tenaga dan bersemangat tinggi setinggi Gunung Himalaya untuk melahirkan insan kerdil yang berjiwa besar dalam memburu kecemerlangan. Komitmen jitu daripada semua pihak sudah pasti dapat melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang sekali gus usaha untuk merealisasikan Wawasan 2020 yang dicetuskan oleh Mantan Perdana Menteri dapat dicapai dengan mudah. Diharapkan usaha untuk melahirkan modal insan yang holistik dan syumul untuk bersaing di peringkat antarabangsa tidak akan menjadi angan-angan Mat Jenin. Benarlah kata Soekarno, “Berikan aku 10 orang belia waja nescaya akan aku gegarkan dunia,” kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *