Contoh Karangan Langkah Memajukan Pelancongan Negara
Sektor pelancongan di negara kita berkembang maju dan menjadi sumber pendapatan negara yang penting. “Pendapatan indsutri pelancongan mencatatkan peningkatan 7.2 peratus dengan nilai RM103.3 bilion pada tahun 2013 dalam menjana ekonomi Malaysia,” kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Hal ini menunjukkan peningkatan ekonomi yang memberangsangkan yang dibawa masuk melalui industri pelancongan. Kerajaan telah menggerakkan semua agensinya untuk memastikan sektor pelancongan berkembang pesat sejajar dengan pembanguna negara yang pantas. Namun begitu, insiden yang menimpa negara baru-baru ini dengan kejadian misteri iaitu kehilangan pesawat Malaysian Airlines Systems (MAS) MH371 dari China dan MH17 yang ditembak lalu terhempas di Ukraine sedikit sebanyak boleh menjejaskan industri pelancongan negara. Kebanyakan pelancong berasa terancam untuk datang ke Malaysia apatah lagi tahun 2014 diisytiharkan sebagai Tahun Melawat Malaysia. Oleh itu, semua pihak haruslah megatur langkah yang lebih proaktif dan pragmatik untuk memastikan industri pelancongan negara kita terus rancak dengan kunjungan para pelancong sama ada dari dalam negara atau dari luar negara untuk memastikan semua pihak mendapat faedah daripada perkembangan sektor ini. Persoalan yang bermain-main di gawang minda kita ialah apakah langkah-langkah yang pragmatik yang dapat dipraktikkan untuk memajukan sektor pelancongan di negara kita?
Uslub yang perdana yang dapat diambil ialah pihak kerajaan memperkenalkan produk pelancongan baharu yang dapat menarik minat pengunjung mancanegara. Produk pelancongan negara perlu diperbanyak supaya para pengunjung dapat menikmati sesuatu yang baharu dan unik di negara kita. Banyak produk pelancongan yang wajar diterokai oleh pihak-pihak yang terbabit. Misalnya, kerajaan menggalakkan masyarakat melibatkan diri dalam program inap desa dengan lebih banyak. Selain itu konsep pelancongan kesihatan, agropelancongan, ekopelancongan, dan seumpamanya hendaklah dikembangkan. Kita juga wajar memperkenalkan pelancongan musim buah-buahan seperti musim durian, manggis, langsat, dan sebagainya. Produk pelancongan yanng diperkenalkan mestilah dapat menarik hati pelancong-pelancong mancanegara. Biasanya pelancongan luar mahu melihat sesuatu yang tidak ada di negara mereka. Oleh itu, kita harus mengambil peluang untuk memperkenalkan keunikan negara ini dengan mengetengahkan budaya hidup dan kesenian masyarakat tempat. Sebagai contoh, pelancong wajar dibawa untuk tinggal bersama-sama masyarakat luar bandar dan mendalami cara hidup mereka. Dengan ini, para pengunjung dapat menimba pelbagai ilmu yang baharu dan mereka tidak akan pulang dengan tangan yang kosong tanpa ilmu di dada. Benarlah kata orang tua-tua, “jauh perjalanan, luas pengalaman”. Jadi, usaha kerajaan memperkenalkan produk pelancongan baharu dapat meningkatkan sektor berkenaan.
Selain itu, pihak kerajaan wajar menganjurkan karnival pelancongan di seluruh pelosok dunia. Karnival pelancongan ialah kaedah yang berkesan untuk memperkenalkan negara kita sebagai destinasi pelancongan. Dalam karnival ini, banyak perkara yang dapat diketengahkan. Antaranya ialah tempat-tempat menarik di negara ini, makanan yang pelbagai, dan juga kebudayaan masyarakat pelbagai kaum. Selain itu karnival ini juga wajar menyediakan pakej-pakej pelancongan yang kompetetif kepada masyarakat antarabangsa. Karnival seperti ini hendaklah diadakan di seluruh dunia. Tumpuan hendaklah diberikan pada rantau yang jauh seperti di Amerika Selatan dan juga Afrika. Sebagai contoh, karnival wajar diadakan di Brazil untuk menarik minat pengunjung di sana datang ke Malaysia dan menghebahkan kehebatan negara kita bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Secara implisitnya, bilangan pelancong ke negara kita akan semakin meningkat. Tegasnya, penganjuran karnival pelancongan di luar negara merupakan langkah yang berkesan untuk mempromosikan negara kita sebagai destinasi pelancongan yang menarik.
Meninjau skop yang lebih luas lagi, kerajaan Malaysia juga wajar menganjurkan pelbagai acara antarabangsa dengan lebih kerap. Pelbagai acara antarabangsa wajar dilobi agar diadakan di negara ini untuk menjadi tarikan kepada para pengunjung. Sebagai contoh, penganjuran acara sukan antarabangsa seperti Monsoon Cup, perlumbaan Formula 1, kejohanan badminton, pameran Maritim dan Udara Langkawi (LIMA), Kejohanan Kereta Formula Satu dan Kejohanan Lumba Basikal Tour de Langkawi dan seumpamanya merupakan acara yang sangat mendapat perhatian peminat antarabangsa. Dalam bidang seni pula, negara kita menjadi tuan rumah kepada beberapa acara antarabangsa, contohnya Festival Muzik Dunia yang diadakan di Sarawak setiap tahun. Kemampuan negara untuk menganjurkan acara antarabangsa seperti ini memang terbukti kejayaannya, bak kata pepatah duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain di dunia. Acara antarabangsa ini hendaklah diadakan dengan lebih kerap dan dijadikan acara tahunan. Kejohanan-kejohanan dan pameran ini perlu dirancang dengan teliti agar dapat dijalankan sepanjang masa dengan promosi yang lengkap dan meluas. Kesannya, kedatangan pelancong ke negara kita juga akan meningkat. Mereka bukan sahaja datang untuk melibatkan diri dalam acara-acara yang dianjurkan, malahan untuk melawat tempat-tempat menarik di negara kita berterusan tanpa menunggu musim-musim tertentu sahaja. Dengan cara ini, kita dapat mengekalkan pulangan yang diperoleh danpada kedatangan pelancong ke negara kita. Jadi, jelaslah penganjuran acara antarabangsa dapat meningkatkan promosi pelancongan di negara kita.
Seperkara lagi, satu daripada langkah-langkah untuk mempromosikan sektor pelancongan negara ini adalah dengan mengadakan kempen Tahun Malaysia Malaysia dengan lebih berkesan dan melibatkan lebih banyak penyertaan. Tahun Melawat Malaysia ialah kempen untuk menggalakkan pelancong datang ke negara kita dengan lebih besar bilangannya. Kempen yang diadakan sepanjang tahun ini menyediakan pelbagai acara untuk menarik minat pelancong datang ke negara ini. Misalnya, pelbagai acara kebudayaan pelbagai kaum dipersembahkan untuk para pelancong. Penyertaan pelbagai pihak digalakkan untuk memeriahkan lagi sambutan Tahun Melawat Malaysia ini. Selain badan-badan kerajaan, pihak swasta juga memikul tanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang kompetetif, bak kata pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Program seumpama Cuti-cuti Malaysia oleh TV3 perlu diteruskan agar masyarakat mengetahui keindahan negara kita Hotel-hotel, syarikat penerbangan, dan syarikat pengangkutan awam mestilah melibatkan diri untuk menjayakan kempen ini. Hal ini sekali gus akan mendorong para pelancong untuk melancong dan berehat di sini. Jelaslah, kempen Tahun Melawat Malaysia dapat meningkatkan sektor pelancongan di negara kita.
Uslub dan minhaj yang lain ialah menghapuskan atau mengurangkan cukai belian barangan di negara ini. Berdasarkan rekod Perbadanan Pelancongan Malaysia (TDC), pelancong asing yang datang ke sini bukan sekadar untuk menikmati keindahan alam semula jadi negara, bahkan juga untuk membeli-belah. Mereka ingin menjadikan percutian di Malaysia sebagai serampang dua mata. Oleh itu, pihak berkuasa perlu menghapuskan atau mengurangkan cukai belian barangan di negara ini. Namun begitu, kualiti barangan yang dijual haruslah terpelihara supaya para pelancong berasa puas hati ketika membeli-belah di negara kita dan janganlah indah khabar dari rupa. Selain itu, peraturan-peraturan imigresen perlu dilonggarkan kepada mereka yang berhasrat melancong ke negara ini. Manakala pusat-pusat perkhidmatan tukaran wang asing perlu ditambah dan disediakan di lokasi-lokasi yang strategik seperti di hotel, pusat pelancongan dan pekan-pekan kecil. Dengan adanya kemudahan-kemudahan ini, para pelancong akan tertarik untuk berkunjung ke Malaysia. Izharlah bahawa penghapusan dan pengurangan cukai belian barangan dapat merancakkan industri pelancongan negara .
Jika ditinjau dari sudut yang lain, langkah-langkah keselamatan juga perlu diambil bagi menjamin kepuasan dan kesejahteraan pelancong semasa berada di negara kita. Faktor kawalan keselamatan yang terjamin di sesuatu destinasi pelancongan sering menjadi kayu pengukur untuk mereka datang ke destinasi pelancongan yang menjadi pilihan di hati mereka. Kita tidak seharusnya lupa dengan gelagat segelintir masyarakat yang mengambil kesempatan ke atas pelancong. Oleh itu, Unit Keselamatan Pelancong perlu ditubuhkan untuk membantu pihak polis menangani jenayah ke atas pelancong. Kejadian-kejadian rogol, mencabul kehormatan, menghendap, peras ugut, rompak dan tipu harus ditangani secepat mungkin. Ini perlu dilakukan agar pelancong asing terus berkunjung ke negara ini. Bilangan keanggotaan pasukan keselamatan perlu ditambah supaya rondaan dapat dilakukan dengan lebih kerap di kawasan tumpuan pelancong. Sehubungan dengan itu, pelancong dapat melancong di negara kita dengan lebih selesa dan sekali gus imej negara terpelihara di mata dunia. Pendek kata, kawalan keselamatan yang baik mampu meningkatkan industri pelancongan negara.
Akhir kalam, bulan semakin terang, bayang kian jelas bahawa terdapat pelbagai langkah yang dapat dirancang dan dilaksanakan untuk meningkatkan sektor pelancongan di negara kita. Memang diakui pelancongan merupakan suatu industri yang cukup berpotensi dan begitu menguntungkan. Oleh itu, usaha memajukan industri pelancongan bukanlah terletak atas pundak pihak berkuasa semata-mata kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Semua pihak hendaklah tampil dan menunjukkan iltizam yang tinggi untuk membantu kerajaan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang hebat, bak kata pepatah kalau tidak dipecahkan ruyung, di mana akan mendapat sagunya. Jika tidak, segala keunikan dan kehebatan budaya pelbagai kaum di negara ini akan sia-sia dan tidak dapat diketengahkan untuk dinikmati oleh pelancongan tempatan dan mancanegara. Kerjasama dan kesungguhan daripada semua pihak yang terbabit akan menonjolkan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan yang terkenal di dunia. Menurut Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim, Mantan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, industri pelancongan di dalam negara boleh berkembang setanding dengan destinasi pelancongan di luar negara seperti Pulau Bali, Disneyland dan lain-lain sekiranya usaha memperkenalkan Malaysia dilakukan secara giat malah disokong oleh rakyat jelata. Biarlah pepohon terus bergoyang, biarlah mentari terus bersinar dan biarlah industri pelancongan negara kita terus meniti dari bibir ke bibir umat manusia di seantero dunia demi menjana pendapatan yang lebih lumayan untuk kemaslahatan bersama.