Contoh Karangan Kepentingan Bersarapan Pagi

Kongsikan Sekarang

Contoh Karangan Kepentingan Bersarapan Pagi

 

“Mimi tidak suka sarapan pagi. Kalau makan pagi dia mesti sakit perut. Selalunya lepas bangun tidur, dia akan terus ke sekolah. Lagi pun, tak sempat. Kami keluar rumah jam 6.45 pagi. Dia suka sambung tidur dalam kereta daripada makan,” kata Halimah ketika diaju soalan kenapa tidak menyediakan sarapan pagi untuk anaknya sebelum melangkah ke sekolah. Senario ini mungkin biasa kita dengar. Sama ada tahu atau tidak ambil kisah, segelintir ibu bapa masih tidak memberi perhatian serius terhadap kepentingan sarapan pagi untuk memastikan anaknya dapat menumpukan sepenuh perhatian pengajaran di dalam kelas. Sebenarnya sarapan pagi sangat penting kepada setiap individu. Walau bagaimanapun, terdapat segelintir individu yang kurang gemar mengambil sarapan pagi. Mereka menganggap bahawa sarapan pagi hanya akan menambahkan berat badan. Mungkin juga terdapat individu yang sering mengalami masalah sakit perut sejurus mengambil sarapan pagi. Sama ada kita sedar atau tidak, terdapat pelbagai faedah yang kita peroleh apabila mengambil sarapan pagi. Marilah bersama-sama kita mengkaji faedah-faedah pengambilan sarapan pagi.

Salah satu faedah mengambil sarapan pagi ialah masalah obesiti dapat dielakkan. Banyak orang yang beranggapan bahawa dengan tidak mengambil sarapan pagi, dapat mengurangkan berat badan mereka. Seseorang yang tidak bersarapan cenderung untuk mengambil makanan dengan kuantiti yang banyak pada waktu tengah hari dan tidak berkhasiat serta tinggi kalori seperti makanan ringan untuk menghilangkan kelaparan. Sebetulnya,berat badan lebih mudah dikurangkan dengan mengambil sarapan pagi dengan tidak makan secara keterlaluan pada waktu tengah hari sebagai akibat kelaparan kerana tidak mengambil sarapan pagi. Kajian yang dijalankan Food Facts Asia dengan kerjasama empat universiti di Asia ke atas remaja berusia 10 hingga 12 tahun yang mengamalkan sarapan rata-rata jauh lebih langsing dan kurang berhadapan dengan masalah berat badan berlebihan. Pengambilan sarapan pagi perlulah seimbang dengan tenaga yang diperlukan. Untuk mengelakkan masalah obesiti, kita haruslah bersarapan pagi dengan makanan yang berkhasiat seperti bijiran dengan susu. Hal ini bukan sahaja dapat mengelakkan obesiti malahan juga dapat mengelakkan pelbagai penyakit yang berbahaya. Tegasnya, masalah obesiti dapat diatasi dengan memberikan berat badan yang ideal  jika kita mengambil sarapan pagi.

 

Selain itu, sarapan pagi dapat membekalkan tenaga kepada kita. Sarapan pagi menyediakan 25 peratus daripada jumlah kalori atau tenaga harian dan kunci kesihatan yang baik. Bagi individu yang tidak mengambil sarapan pagi, apabila menjelang tengah hari, mereka akan mula rasa lemah lesu dan tidak bermaya. Kajian telah membuktikan bahawa individu yang mengambil sarapan pagi lebih cergas daripada individu yang tidak mengambil sarapan pagi. Remaja sangat memerlukan sarapan pagi untuk memberikan tenaga kepada mereka. Minda mereka lebih cerdas di awal pagi dan ini memudahkan mereka menumpukan perhatian di dalam kelas. Pensyarah Kanan, Jabatan Pemakanan dan Dietetik, Universiti Putra Malaysia, Dr Barakatun Nisak Mohd Yusof, berkata sarapan pagi amat penting bagi memulakan hari individu dengan lebih bertenaga selepas lebih lapan jam tidur, terutama otak. Disebabkan remaja lama berada di sekolah dan memerlukan tumpuan kepada pelajaran, makanan yang tinggi lemak dan gula jika diambil dalam jumlah yang berlebihan akan menyebabkan mengantuk. Sehubungan dengan itu. sarapan bukan saja memberi tenaga untuk memulakan hari baharu, tetapi juga menjamin prestasi yang lebih baik dalam kehidupan seseorang. Pendek kata, bersarapan pagi penting untuk memberikan tenaga demi menjamin kualiti hidup kita.

Di samping itu,sarapan pagi amat penting bagi mengawal rasa lapar diri kita. Lazimnya, kita perlu bangun seawal pagi untuk memulakan rutin harian kita. Sarapan pagi dapat menjadi alas perut sementara menunggu waktu rehat tiba. Apabila kurang rasa lapar, tumpuan kita terhadap kerja yang dilakukan akan stabil. Jika perut kita lapar, tumpuan kita akan terganggu. Hai ini menyebabkan kita hilang fokus terhadap aktiviti harian kita. Oleh itu, kita perlu mengambil sarapan pagi dengan pengambilan makanan yang mengandungi serat seperti roti bijiran penuh, bijirin  sarapan, kekacang, sayuran dan buah.  Serat membantu dengan memberikan rasa kenyang bagi mengelakkan pengambilan makanan berlebihan dan sekali gus dapat mengawal masalah fizikal, intelektual dan tingkah laku seseorang.  Izharlah bahawa pengambilan sarapan penting untuk mengelakkan rasa lapar.

Sebagai konklusinya, sudah terang lagi bersuluh bahawa pengambilan sarapan pagi ini banyak memberikan kepentingan kepada diri kita. Pengabaian daripada mengambil sarapan pagi  juga memberikan keburukan kepada diri kita. Oleh itu, kita haruslah memulakanlah hari kita dengan bersarapan kerana mencegah itu lebih baik dari mengubati. Sesungguhnya kita perlu mengetahui apa yang penting bagi diri kita untuk sentiasa sihat dari segi mental mahupun fizikal. Ibu bapa seyogianya menyediakan sarapan yang sihat untuk anak-anak tanpa memberikan sebarang alasan yang boleh membantutkan tumbesaran dan kesihatan anak-anak. Pengambilan sarapan pagi haruslah dijadikan suatu kelaziman supaya alah bisa tegal biasa. Dengan ini, negara dapat menghasilkan modal insan yang sihat sekali gus dapat meningkatkan taraf ekonomi negara agar setanding dengan negara-negara maju yang lain. Berpeganglah pada slogan “Rakyat Sihat, Negara Maju”.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Exit mobile version