Blog

Contoh Karangan Cara Memupuk Semangat Kejiranan

By Jack

October 29, 2019

Contoh Karangan Cara Memupuk Semangat Kejiranan

 

Dalam mendepani era modenisasi pada abad-21 kini, dunia menyaksikan iktisad (ekonomi) negara membangun seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Negara yang semakin pesat membangun seperti tenggelam sama basah, timbul sama hanyut seiringan dengan negara maju lain. Namun begitu,  isu memupuk semangat kejiranan masih menjadi polemik dalam kalangan marhaen (golongan bawahan) di Malaysia.  Dewasa ini, semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat kita semakin hari semakin terpinggir. Maasyarakat pada hari ini lebih mementingkan diri sendiri dan membudayakan hidup bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Dari segi  konsepnya semangat kejiranan boleh ditakrifkan sebagai suatu perasaan yang harus dipupuk oleh setiap masyarakat di Malaysia tanpa mengira warna kulit bangsa dan agama dalam usaha untuk mengukuhkan perpaduan kaum demi negara yang tercinta. Biasanya semangat kejiranan merangkumi semua lapisan masyarakat tidak kira muda ataupun tua yang perlu kita amalkan. Menurut Dato’ Dr. Fadzillah Kamsah jiran merupakan orang yang tinggal di sekeliling kita sama ada di depan, belakang, kiri , atau pun kanan dan merupakan orang pertama yang membantu kita ketika kita berada dalam kesusahan. Hal ini boleh dianalogikan seperti awan yang melindungi bumi daripada cahaya matahari. Oleh itu, langkah yang signifikan harus diambil bagi menerapkan semangat kejiranan kepada semua lapisan masyarakat.

Cara yang afdal untuk memupuk semangat kejiranan ialah ibu bapa perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak. Hal ini kerana ibu bapa merupakan guru pertama dan guru terbaik kepada anak-anak. Jika ibu bapa menunjukkan teladan  yang baik kepada anak-anak maka mereka akan mencontohi teladan yang ditunjukkan kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Sekiranya ibu bapa menunjukkan suri teladan yang buruk kepada anak-anak maka mereka akan menjadi anak-anak yang jahat malah lebih teruk lagi.  Hal ini boleh dianologikan seperti anak burung yang baru belajar terbang daripada ibunya. Sebagai contoh, ibu bapa haruslah mengunjungi atau menziarahi jiran tetangga walaupun mereka berada dalam keadaan yang baik atau tidak. Selain itu, ibu bapa haruslah tidak sombong dengan jiran dan sering bertegur-sapa agar dapat memupuk semangat kejiranan. Kesannya, semangat kejiranan dapat dipupuk antara jiran dalam kalangan anak-anak dan ibu bapa sekali gus dapat mewujudkan masyrakat yang harmoni. Sekiranya cara memupuk semangat kejiranan dapat dipupuk oleh ibu bapa maka negara dapat melahirkan generasi yang bijaksana dan bekerjasama dalam mentadbir membangunkan negara ke  arah kemajuan  negara pada masa akan datang. Tegasnya, contoh teladan yang terbaik daripada ibu bapa mampu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan anak-anak.

Memetik wasitah nirmala seterusnya, minhaj (cara) untuk memupuk semangat kejiranan dalam masyarakat setempat di Malaysia ialah program rukun tetangga  di kawasan perumahan mesti dihidupkan semula. Hal ini kerana program rukun tetangga berfungsi sebagai perisai untuk mengawal keselamatan kawasan perumahan terutama pada malam hari.  Anggotanya membabitkan semua pihak tanpa mengira kaum kerana masing-masing bertanggungjawab menjaga keselamatan kendiri dan keluarga. Sebagai contohnya, anggota rukun tetangga akan bergilir-gilir bertugas meronda kawasan tanpa mengira usia, agama dan status. Secara ghalibnya (lazimnya), senario ini akan mewujudkan  jalinan hubungan yang mesra bagai isi dengan kuku sekali gus memupuk semangat kejiranan yang hakiki (sebenar). Menurut Tun Dr. Mahathir, jiran yang muafakat akan membentuk masyarakat yang harmoni. Oleh itu, kita perlu mengaktifkan program rukun tetangga bagi melahirkan semangat kejiranan yang utuh dan bersatu padu.

Meninjau dari skop yang lain, langkah yang seterusnya adalah dengan mengadakan aktiviti gotong-royong.  Melalui aktiviti gotong-royong, jiran dapat berkumpul dan bekerjasama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh diadakan secara bergotong-royong adalah seperti  membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara dan sebagainya. Apabila berkumpul dan berbincang, mereka akan dapat berkenal-kenalan antara satu dengan yang lain yang sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang mengatakan bahawa tak kenal maka tak cinta. Selepas mengenali hati budi antara satu sama lain barulah benih-benih kasih sayang. Melalui cara ini, masyarakat yang penyayang dapat dilahirkan di samping dapat menerapkan pelbagai nilai murni. Tun Dr. Mahathir, Mantan Perdana Menteri  pernah menegaskan bahawa dengan melibatkan diri dalam kegiatan bergotong-royong, kita berupaya menerapkan pelbagai nilai murni dalam diri. Bukan itu sahaja, kawasan kediaman juga akan menjadi bersih dan terpelihara daripada penyakit demam denggi. Jelaslah bahawa aktiviti gotong-royong dapat memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.

Jika dilihat dari perspektif yang lain, kita juga hendaklah mengadakan majlis-majlis rumah terbuka semasa sesuatu sambutan perayaan. Amalan ini dapat membentuk ikatan silaturahim dan memperkukuh semangat kejiranan dalam kalangan jiran setempat. Melalui acara rumah terbuka, jiran dapat bertanyakan khabar dan bercerita tentang pengalaman masing-masing dengan lebih dekat. Seterusnya, melalui majlis rumah terbuka ini, semua ahli dalam masyarakat berpeluang untuk berkumpul dan berbincang sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Sebagai contoh, semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Krismas, Deepavali, dan sebagainya majlis-majlis rumah terbuka hendaklah dijadikan acara tahunan. Maka, dengan adanya pengimplimentasian program seperti “Rumah Terbuka Kebangsaan” bagi setiap sambutan perayaan, rakyat dapat diterapkan dengan nilai hormat-menghormati dan sayang-menyayangi antara satu sama lain ibarat kata bidalan, “serumpun seperti serai, seikat seperti sirih”. Hal ini dikuatkan lagi dengan kajian dari Universiti Sains Malaysia yang menunjukkan keberhasilan penganjuran program “Rumah Terbuka Kebangsaan” dalam mewujudkan institusi kejiranan yang kukuh di sembilan buah kawasan perumahan di sekitar Pulau Pinang. Pendek kata, majlis rumah terbuka mampu mengeratkan hubungan kejiranan dan memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.

Lontaran idea yang seterusnya ialah kita mestilah menyemarakkan budaya kunjung-mengunjung dalam kalangan rakyat sebagai langkah untuk memupuk dan mengekalkan semangat kejiranan. Dalam hidup bermasyarakat, kita digalakkan menziarahi jiran kita. Melalui aktiviti ini, kita akan mengetahui masalah dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita. Sebagai contoh, kita perlu berkunjung ke hospital jika kita mendapat berita bahawa jiran kita dimasukkan ke hospital kerana menghidap sesuatu penyakit atau kemalangan. Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa berat mata memandang berat lagi bahu memikulnya, namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang pada prinsip cubit paha kiri, paha kanan terasa juga. Maksudnya ialah jika kita mempunyai semangat kejiranan yang tinggi, kita akan dapat merasai segala kesusahan dan keperitan yang dialami oleh jiran kita. Dengan ini, kita dapat meringankan penderitaan dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita. Izharlah bahawa amalan ziarah-menziarahi mampu menyemarakkan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat kita.

Sebagai menggulung segala lontaran idea yang telah dinyatakan, dapatlah disimpulkan bahawa terdapat beberapa cara yang dapat dipraktikkan untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat kita. Dalam era globalisasi ini, sikap mementingkan diri sendiri dan sikap tidak mempedulikan orang lain semakin menebal.  Jika hal ini dibiarkan, semangat kejiranan akan luntur dan seterusnya akan menjejaskan perpaduan negara kerana bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.  Oleh itu, kita perlu memupuk semangat kejiranan  bermula daripada sekarang.  Cogan kata “Jiran Sepakat Membawa Berkat” perlu terus diamalkan dalam kehidupan kita sehari-hari. Golongan remaja seharusnya menyuburkan semangat kejiranan kerana mereka merupakan pemimpin yang akan mewarnai corak pemerintahan pada masa hadapan. Namun begitu, kita tidak seharusnya meletakkan usaha ini pada bahu satu pihak kerana bertepuk sebelah tangan tak akan berbunyi. Oleh itu, semua pihak perlulah bersinergi ibarat berat sama dipikul, ringan sama dijinjing untuk menghidupkan semangat kejiranan di negara kita. Allah berfirman yang maksudnya, “Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu kenal-mengenali”. Semoga Malaysia menjadi sebuah negara yang mempunyai perpaduan yang utuh dan kukuh.